Penyelesaian rangkaian keselamatan Internet
29 May 2008 (Utusan Malaysia)
oleh Mohammad Yasir Jaafar

CyberSecurity Malaysia baru-baru ini, menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Agensi Kebangsaan Keselamatan Infrastruktur Internet Indonesia (ID-SIRTII) bertujuan membentuk mekanisme serta program yang meliputi aspek teknikal, pendidikan serta penyelesaian polisi bagi mentadbir keselamatan rangkaian infrstruktur Internet.

Jalinan kerjasama antara dua negara luar itu juga diharapkan dapat membuka ruang bagi menghulurkan bantuan dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi berhubung isu keselamatan rangkaian jalur lebar secara menyeluruh.

Dalam pada itu, MoU pertama NACS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Tunisia, Prof. Belhassen Zouari, manakala CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husin Jazri.

Sementara itu, MoU kedua ditandatangani oleh Pengerusi ID-SIRTII, Richardus Eko Indrajit bersama-sama Husin.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Fadillah Yusof.

Selain itu, kerjasama tersebut juga meliputi usaha sama proses membangunkan tahap keselamatan pengurusan ancaman, forensik digital, teknologi kriptologi dan termasuk perakuan produk.

Perjanjian MoU itu diadakan sejajar dengan penganjuran Persidangan Keselamatan Siber Sedunia (WCSS 2008) dan Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT 2008) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, seramai 450 murid hadir untuk mendengar sesi ceramah berhubung isu kesedaran keselamatan. Mereka telah dididik untuk menjadikan Internet sebagai tempat yang selamat terutamanya kepada generasi muda.