Tanam Kesedaran Keselamatan Siber
6 Jun 2008 (Utusan Malaysia)

Kuala Lumpur 5 Jun - Orang ramai perlu menanam kesedaran yang tinggi terhadap keselamatan siber bagi mengelakkan mereka terjebak dengan pelbagai masalah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Fadillah Yusof berkata, ini kerana kerajaan mendapati masih terdapat orang ramai yang mendedahkan maklumat-maklumat peribadi kepada orang lain menerusi Internet.

Beliau berkata, seseorang sepatutnya tidak memberikan maklumat peribadi kepada orang lain sama ada rapat atau yang tidak dikenali sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan buruknya.

"Maklumat-maklumat peribadi termasuk gambar dan kata laluan yang diberikan kepada pihak lain mungkin boleh mengakibatkan gangguan siber dan insiden lain yang tidak diingini", katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke CyberSecurity dekat sini hari ini.

Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang menghadapi masalah mengenai sekuriti siber supaya mengemukakan laporan kepada CyberSecurity agar tindakan segera dapat dilakukan untuk membantu mereka.

"Pihak berkuasa tidak dapat mengenakan tindakan ke atas perbuatan berkaitan masalah sekuriti siber kerana tidak menerima laporan daripada mangsa atau orang ramai.

"Tetapi sekiranya menerima laporan daripada orang awam, pihak berkenaan akan mengenakan sekatan ke atas laman web terbabit dengan serta-merta" jelasnya.