SMS tipu: Lapor segera kepada MyCERT
23 Jun 2008 (Kosmo)

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan tawaran hadiah lumayan diminta melaporkan segera ke Jabatan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber Malaysia (MyCERT) di talian 03-89926969 atau SMS 019-2813801.

Ketua Krisis dan Komunikasi Korporat Cybersecurity Malaysia, Mustaffa Ahmad menyarankan demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! kelmarin berkaitan wang dalam akaun simpanan di bank lesap angkara sindiket jenayah siber.

Katanya, tindakan pantas menghubungi jabatannya mampu membantu mereka daripada menjadi mangsa sindiket yang semakin menjadi-jadi sekarang ini.

Jelas beliau, jenayah seumpama itu banyak melibatkan kemudahan perbankan internet yang semakin mendapat tempat di kalangan masyakat celik komputer.

"Penjenayah siber biasanya menumpukan sasaran kepada pemegang akaun yang tidak pernah mengaktifkan kemudahan perbankan internet sebagai mangsa terhadap kegiatan mereka.

"Terlebih dahulu, sindiket ini akan menghubungi mangsa supaya mengaktifkan perbankan internet sebagai kemudahan mangsa bagi menyemak akaun," katanya ketika dihubungi semalam.