Maybank dedah cubaan sindiket tipu pelanggan
8 Julai 2008 (Berita Harian)
Oleh Shahrizan Salian

Penceroboh minta pengguna beri kata nama, kata kunci

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mengingatkan pelanggannya supaya berhati-hati dengan sebarang e-mel mencurigakan yang meminta mereka melayari URL tertentu dan meminta memasukkan maklumat penting seperti kata nama dan kata kunci.

Ini susulan penyebaran satu lagi e-mel sedemikian yang meminta pelanggan Maybank memberikan maklumat penting menerusi program mengemaskini maklumat pemalsuan akaun bank.

E-mel yang disebar semalam itu meminta pengguna memasukkan kata nama dan kata kunci akaun perbankan dalam talian Maybank, Maybank2u.com atas alasan mengemas kini maklumat pelanggan bagi Julai.

Ia meminta pelanggan masuk ke dalam URL https://www.maybank2u.com.my/services/onlineprotection?verification sebelum memasukkan maklumat yang dikehendaki.

Seorang jurucakap Maybank mengesahkan e-mel itu cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk menceroboh maklumat penting pelanggannya.

Beliau berkata, pelanggan Maybank perlu berhati-hati dengan e-mel mencurigakan sedemikian yang biasanya disebarkan atas tujuan mengemaskini maklumat pelanggan.

"Kami menegaskan bahawa bank tidak akan menghantar sebarang e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta pelanggan memberikan maklumat perbankan peribadi," katanya.

Jurucakap itu menasihatkan pelanggan supaya tidak melayari URL yang terkandung dalam e-mel berkenaan, sebaliknya menaip www.maybank2u.com jika mahu mengakses laman web perbankan dalam talian Maybank.

"Maybank sudah menghubungi pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan ke atas laman web tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Pada masa sama, katanya, bank akan terus menghantar notis peringatan dalam laman webnya mengenai pemalsuan itu dan pelanggan dinasihatkan supaya membacanya.

Beliau berkata, pelanggan yang sudah memberikan kata nama dan kata kunci ke dalam laman web palsu, perlu menukarnya dengan segera di www.maybank2u.com.

Katanya, mereka juga perlu melaporkan cubaan menceroboh maklumat itu kepada Pusat Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di 1-300-88-6688.