Malaysia perlu mahkamah khas adili jenayah siber
6 Januari 2009 (Berita Harian)

MARANG: Malaysia memerlukan Mahkamah Siber bagi mengadili kes berkaitan jenayah siber di negara ini, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, penubuhan mahkamah itu perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira akan berlaku peningkatan kes membabitkan jenayah siber di negara ini.

"Dalam tempoh tiga tahun lalu, kita sudah hantar lebih 30 kes ke Pejabat Peguam Negara, jika satu hari kita tidak mampu menanganinya lagi, terlalu banyak kes, kita mungkin perlukan mahkamah siber," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di Kampung Merchang, di sini, semalam.

Mengenai kewujudan sebuah laman blog yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, Shaziman berkata, pihaknya dengan kerjasama polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Shaziman berkata, kadar penembusan jalur lebar, iaitu keupayaan memuat turun data, video interaktif dan aplikasi suara dari internet dengan tahap kelajuan yang tinggi di negara ini adalah sebanyak 18 peratus bagi setiap 100 isi rumah.

Bagi Terengganu pula, katanya, kadar penembusan jalur lebar ialah 8.8 peratus bagi setiap isi rumah iaitu peningkatan yang ketara berbanding 2005 sebanyak 0.7 peratus.

"Ini adalah kesinambungan usaha kerajaan untuk memperluaskan kadar penembusan jalur lebar isi rumah kepada 50 peratus pada tahun depan dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat celik IT (teknologi maklumat)," katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak 1,268 menara komunikasi baru akan dibina menjelang 2010 di seluruh negara bagi memperluaskan liputan telefon selular dengan 98 daripadanya akan dibina di Terengganu.

"Program Time 3 yang kita laksanakan bermula tahun ini akan memberi tumpuan terhadap perluasan liputan telefon selular di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

"Kadar liputan telefon selular negara akan dapat ditingkatkan daripada 92 peratus pada masa ini kepada 97 peratus pada 2010," katanya. - Bernama.