Jenayah Siber di Malaysia Naik 100%
13 Januari 2009 (Harian Metro)

KUALA LUMPUR: Meningkat, namun masih terkawal, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, mengulas mengenai peningkatan kegiatan jenayah siber di negara ini.

Katanya, sebanyak 2,123 aduan jenayah maya diterima pihaknya tahun lalu, meningkat 1,085 berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan itu fenomena biasa berikutan perkembangan mendadak pengguna Internet setiap tahun.

Tahun lalu, kami menerima 2,123 aduan berbanding 1,038 pada 2007. Daripada jumlah berkenaan, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan iaitu 907 kes, diikuti kes cubaan mengganggu (766), kod berniat jahat (277), ancaman penggodam (89), gangguan siber (72) dan penafian perkhidmatan (12).

Kes jenayah siber serius hanya membabitkan jumlah kecil dan berdasarkan penilaian profesional ia masih dapat dikawal. Peningkatan jumlah ini fenomena biasa berikutan penambahan pangkalan Internet, katanya pada sidang media sempena majlis perasmian Seminar Pertama Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Pertubuhan Persidangan Islam (OIC-CERT) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Abdul Hanan Alang Endut serta Ketua Teknologi Maklumat, Sekretariat Umum OIC, Mohamed Abdulrahman Elbusefi.

Mengulas lanjut, Husin berkata, banyak penyebab yang menjadi pendorong segelintir individu sehingga terjebak ke dalam kancah jenayah terbabit.

Antaranya desakan kewangan akibat kesan kemerosotan ekonomi dunia. Bagaimanapun, apa yang penting, pemantauan secara berterusan bagi memastikan jenayah berkenaan tidak terus meningkat di luar kawalan, katanya.

Sementara itu, Abdul Hanan dalam ucapannya berkata, negara anggota OIC yang menyertai pasukan berkenaan yang baru diwujudkan, boleh mengambil Polisi Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) sebagai contoh bagi merangka dan melaksanakan pelan untuk OIC-CERT.

Malaysia yang mempunyai pengalaman menerusi NCSP sejak 2006, boleh membantu OIC-CERT untuk melaksanakan polisi atau idea sama lebih-lebih lagi membabitkan langkah pengawalan keselamatan dunia siber yang kini melampaui sempadan agama, budaya dan negara, katanya.