Malaysia teraju OIC-CERT
4 Februari 2009 (Harian Metro)

SISTEM amaran keselamatan lebih bersepadu dan ketat dijangka mampu meningkatkan tahap perlindungan di kalangan negara Pertubuhan Negara Islam (OIC) apabila penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (OIC-CERT) bertindak sebagai perkongsian maklumat berkaitan ancaman siber.

Melalui seminar yang diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur baru-baru ini, OIC-CERT menetapkan matlamat untuk menghalang serta mengurangkan jenayah siber di kalangan negara anggota di samping menyediakan saluran kecemasan sekiranya ancaman berlaku.

Menurut penganjur seminar iaitu CyberSecurity Malaysia, OIC-CERT menghimpunkan pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari negara Islam yang mana Malaysia menjadi peneraju kumpulan terbabit. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata inisiatif terbabit membentuk rangkaian pasukan tindak balas komputer lebih efektif melalui pertukaran maklumat menggunakan teknologi sedia ada bagi memaklumkan sebarang ancaman dengan pantas sebaik ia dikesan.

"Seperti yang diketahui sebelum ini, anggota OIC tidak mempunyai platform untuk mengetahui mengenai selok belok ICT terutama berkaitan ancaman siber akibat kurangnya kerjasama namun melalui OIC-CERT, ia menumpukan pertukaran maklumat lebih bersepadu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Abdul Hanan Alang Endut, berkata penubuhan OIC-CERT adalah permulaan dunia Islam lebih baik dalam bidang ICT yang selama ini dipinggirkan.

"Kini dunia Islam memiliki OIC-CERT yang mampu dimanfaatkan bagi membantu meningkatkan keselamatan masa sebenar di kalangan negara anggota malah ia turut memberi manfaat kepada dunia global," katanya.

Katanya, jalinan platform yang disediakan bukan saja menghubungkan negara anggota jika berlaku sebarang ancaman malah menyediakan ruang dalam penyelidikan dan pembangunan ICT seterusnya menangani isu berskala besar.