Pengguna diminta waspada e-mel spam
3 Februari 2009 (Berita Harian)
Oleh Nahar Tajri

Kes curi data internet naik 100 peratus tahun lalu

ALOR SETAR: Pengguna perkhidmatan internet termasuk bagi tujuan perbankan perlu lebih berhati-hati berikutan peningkatan mendadak kes emel spam kepada lebih 100 peratus tahun lalu, iaitu 80,526 kes berbanding 38,601 pada 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata e-mel spam atau e-mel sampah adalah antara pelbagai alat digunakan oleh penjenayah siber untuk mencuri data dan maklumat melalui penyebaran e-mel secara rambang kepada pengguna internet.

"Ini menjadi saluran kepada aktiviti jenayah internet lain, termasuk ancaman godam, kod jahat dan penipuan.

"Spam digunakan untuk memperdaya pengguna dengan mengajak mereka melayari laman web tertentu dan diminta mengemas kini data sebelum mencuri maklumat itu untuk kegiatan jahat.

"Meskipun ancamannya belum boleh dianggap serius, tetapi ia mendedahkan pengguna kepada bahaya berikutan peranan spam sebagai pemula kepada aktiviti jenayah siber dan ia jelas dapat dilihat melalui peningkatan jenayah siber tahun lalu yang turut meningkat lebih 100 peratus seiring dengan peningkatan e-mel spam.

"Tahun lalu, CyberSecurity menerima 2,123 aduan, berbanding 1,038 pada tahun sebelumnya, membabitkan gangguan siber sebanyak 72 kes, penipuan (907), ancaman penggodam (89), kod berniat jahat (277), penafian perkhidmatan (12) dan cubaan mengganggu (766).

"Kita menasihatkan pengguna supaya jangan memandang e-mel spam sebagai remeh dan sentiasa berwaspada kerana bimbang terjerat dengan aktiviti penjenayah siber," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengenai status e-mel spam di negara ini, beliau berkata, ia belum boleh dikira sebagai jenayah kerana ketiadaan akta mengenainya berbanding beberapa negara lain.

"Saya difahamkan akta berkaitan spam sedang dirangka. Ia satu perkembangan baik kerana saban tahun pengguna internet dalam negara semakin meningkat dan mendedahkan mereka kepada aktiviti jenayah siber," katanya.

Husin berkata, kes jenayah siber yang serius hanya membabitkan jumlah kecil dan peningkatan jenayah siber bukan sesuatu yang mengejutkan jika pangkalan internet bertambah setiap tahun.