Inisiatif keselamatan ICT OIC
22 Januari 2009 (Utusan Malaysia)
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Ancaman siber yang semakin menjadi-jadi apabila semakin ramai golongan masyarakat dunia menggunakan Internet untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti berkomunikasi, berurusniaga, transaksi perbankan dan menyalurkan berita terkini.

Ini bermula dengan saranan penubuhan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer di kalangan Negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dikemukakan pada Jun 2005.

Ia putuskan semasa Persidangan Pengetahuan Maklumat dan Teknologi Komunikasi (KICT4D) sempena Mesyuarat Tahunan Lembaga Gabenor Bank Pembangunan Islam di Putrajaya.

Ekoran itu, pada Jun 2006, Pasukan Petugas OIC-CERT ditubuhkan dengan Malaysia telah dipilih sebagai pengerusi manakala Tunisia sebagai Sekretariat manakala negara lain seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Nigeria, Pakistan dan Indonesia sebagai ahlinya.

Dua tahun kemudian OIC telah menerima resolusi penubuhan OIC-CERT di Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Kampala, Uganda pada 18 hingga 20 Jun tahun lalu.

Sebagai tindakan susulan kepada masyarakat, satu program berbentuk seminar dicadang diadakan bagi membantu Negara-negara OIC membentuk Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer mereka sendiri bagi memastikan inisiatif keselamatan ICT nasional mereka dibentuk mengikut keadaan dan keperluan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel Husin Jazri berkata, idea pembentukan inisiatif keselamatan ICT dan penubuhan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer telah diterima oleh kebanyakan negara OIC.

"Sebagai pengerusi Pasukan Petugas OIC-CERT, kami dari CyberSecurity Malaysia amat berbangga dengan penganjuran seminar pertama OIC-CERT dan Mesyuarat Agung Tahunan OIC-CERT 2009," katanya semasa majlis perasmian seminar OIC-CERT di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar tersebut menyediakan pelbagai program seperti pembentukan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer, kerjasama serantau, dan pendidikan mengenai kepentingan keselamatan maklumat.

Program berkenaan dirangka bagi meningkatkan lagi keupayaan perniagaan serta jalinan hubungan di kalangan sektor awam dengan tujuan meningkatkan kesedaran pembentukan OIC-CERT sebagai pusat keselamatan maklumat global bagi suatu jangkamasa panjang.

Antara objektif utama penubuhan OIC-CERT adalah:

  • Mengeratkan kerjasama di antara Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer di kalangan Negara Anggota OIC.
  • Meningkatkan perkongsian maklumat di dalam bidang keselamatan maklumat.
  • Menghalang dan mengurangkan jenayah siber.
  • Memupuk serta menggalakkan pendidikan dan pencapaian di dalam program keselamatan maklumat.
  • Menjalin kerjasama di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi
  • Menyediakan saluran kecemasan siber di kalangan Negara Anggota OIC.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, (MOSTI) Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, penubuhan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer di kalangan Negara OIC memberikan banyak manfaat kepada negara.

"Selain kesedaran mengenai penyebaran kesedaran siber, penubuhan OIC-CERT menyediakan platform bagi Negara OIC untuk bertukar pandangan serta kepakaran dan memperkembangkan pengukuran pembangunan bersama bagi menangani masalah keselamatan maklumat berskala besar," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian MOSTI, Datuk Abdul Hanan Alang Endut.