Tahap Keselamatan Siber Di Malaysia Membanggakan
13 Arpil 2009 (BERNAMA)

KOTA KINABALU, 13 April (Bernama) -- Keselamatan siber di negara ini bukan saja berada di tahap membanggakan, malah dalam sesetengah kes, lebih tinggi berbanding di negara maju, kata pusat pakar kebangsaan CyberSecurity Malaysia.

Ketua pegawai eksekutifnya Lt Kol (B) Husin Jazri berkata berbanding negara lain, tahap keselamatan siber di Malaysia adalah agak tinggi daripada segi jaminan keselamatan persekitaran ruang siber.

"Ini bukan bermakna kita bebas daripada kegiatan nakal, tapi ia mampu dikawal oleh agensi yang bertanggungjawab mengenainya di Malaysia," katanya pada majlis taklimat kepada petugas media Sabah di sini Isnin Beliau berkata respons yang diberi oleh pusat itu serta agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis daripada segi penguatkuasaan, adalah membanggakan.

Contohnya, kata Husin, setelah menerima laporan tentang kegiatan "phishing" (cubaan mencuri maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan dan butiran kad kredit oleh pihak yang menyamar sebagai entiti yang sah), mereka berjaya menutup laman web palsu itu dalam tempoh tidak sampai satu sejam.

"Ini amat cepat ... di sesetengah negara, masa yang diambil ialah tiga atau empat hari," katanya.