Cybersecurity Malaysia: Awasi laman web perbankan internet palsu
19 December 2009 (Malaysian insider)

KUALA LUMPUR, 19 Dis-Perbuatan mencuri maklumat menerusi internet semakin meningkat, demikian menurut nasihat oleh Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity Malaysia.

Pusat Bantuan Cyber999 menerima banyak laporan daripada pengguna internet mengenai laman-laman web yang hosnya dari luar negara. Ia seperti beberapa laman web e-perbankan bank-bank terkemuka di negara ini.

Laman-laman web penipuan ini atau laman-laman web palsu digunakan untuk "serangan mencuri" yang memanipulasi kelemahan keselamatan manusia.

Ia dilakukan dengan menceroboh entiti sebenar, sebagai contoh, meniru laman web perbankan biasa. "Serangan mencuri" ini juga menggunakan taktik kejuruteraan sosial seperti menghantar e-mel spam, katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kandungan e-mel terbabit menggunakan perkataan-perkataan yang menyakinkan untuk menipu orang ramai sepaya membuka hubungan yang akan membuka laman-laman web perbankan palsu.

Memandangkan laman-laman web itu sama seperti laman web sebenar, pelanggan terpedaya dengan memasukkan maklumat sulit, seperti nama pengguna dan kata laluan e-perbankan ke dalam laman web e-perbankan palsu itu.

Menerusi cara itu "serangan mencuri" mudah mencuri nama pengguna dan kata laluan pelanggan bank yang tidak mengesyakinya.

Bank-bank tidak pernah meminta pengguna membuat kemas kini, menukar semula kata laluan, membuka akaun atau apa sahaja berkaitan perbankan menerusi e-mel dan URL.

"Jika anda menerima e-mel sama seperti daripada bank atau institusi perbankan, nasihat kami ialah abaikannya.

"Jika anda curiga, sila hubungi bank anda untuk tujuan pengesahan atau hubungi Pusat Bantuan Cyber999, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Bin Jazri.

CyberSecurity Malaysia ialah pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.