Cybersecurity Mahu Tetapkan Standard Bagi Produk Keselamatan Maklumat
19 June 2009 (Bernama)

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama)-CyberSecurity Malaysia, pelopor keselamatan siber negara, mahu melaksanakan kriteria seragam bagi produk keselamatan siber di Malaysia, yang akan membantu perniagaan, terutama dalam mengenal pasti produk yang tepat.

Kriteria seragam itu ialah standard antarabangsa (ISO/IEC 15408) bagi pensijilan keselamatan komputer.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt Kol (B) Husin Jazri berkata berikutan peningkatan jenayah siber, perniagaan perlu melabur dalam sistem keselamatan.

Bagi mengenal pasti sistem atau produk keselamatan yang tepat, ia memerlukan cadangan atau pensijilan bagi memastikan produk yang mereka gunakan, terjamin.

"Saya menjangkakan pembeli produk mahu bukti daripada pihak ketiga. Pada persidangan yang akan datang, kami akan membincangkan lebih lanjut idea mengenai kriteria seragam untuk produk keselamatan maklumat," katanya pada taklimat media di sini Jumaat.

Standard kulaiti itu merupakan jaminan bahawa proses pelaksanaan dan penilaian spesifikasi produk keselamatan komputer sudah dilaksanakan secara rapi dan mengikut standard.

Laporan baru-baru ini menyebut negara mencatat purata 300 jenayah keselamatan siber sebulan, termasuk virus dan pencerobohan.

Bagi menangani isu yang membabitkan ancaman semasa dalam dunia siber dan cara menanganinya, CyberSecurity Malaysia menganjurkan persidangan dan pameran Cyber Security Malaysia "SecureAsia@Kuala Lumpur" selama tiga hari mulai 6 Julai di Kuala Lumpur Convention Centre.

Pakar-pakar keselamatan dari Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Australia dan Asia Pasifik, dijangka membincangan langkah yang boleh diambil untuk menangani kemunculan ancaman yang dihadapi oleh organisasi, dalam persekitaran ekonomi semasa termasuk pengurangan bajet, selain ketidaktentuan dunia.

Ia akan memberi tumpuan terhadap risiko pelbagai aspek-penyakit, keganasan, pelanggaran privasi dan keselamatan maklumat, malapetaka semula jadi dan buatan manusia dan krisis kewangan dan ketidakstabilan pasaran.

Selain itu, seminar mengenai kesedaran keselamatan Internet untuk orang ramai akan diadakan pada hari ketiga. Kemasukan adalah percuma.