Waspada laman web perbankan palsu
23 November 2009(Harian Metro)

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berhati-hati dengan kegiatan "phishing' atau penipuan siber melalui laman web palsu dengan menyamar sebagai entiti yang boleh dipercayai seperti laman web perbankan.

Peringatan terbabit diberikan CyberSecurity Malaysia berikutan pendedahan aktiviti cubaan "phishing' semakin meningkat di negara ini.

Kegiatan itu adalah proses jenayah penipuan dalam cubaan memperoleh maklumat peribadi seperti nama pengguna, nombor akaun, nombor PIN (nombor pengenalan peribadi), kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar entiti boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.

"Pusat Bantuan Cyber999 menerima banyak aduan daripada pengguna Internet di negara ini berhubung laman web 'phishing' yang dihoskan di luar negara yang nampak sama seperti laman web e-perbankan bank tempatan utama," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol Husin Jazri.

Dalam kenyataan semalam, katanya, "serangan phishing' juga mengamalkan kaedah sosial seperti menghantar e-mel spam, yang tidak diundang, nampak seperti dihantar bank terkemuka tempatan.

"E-mel yang tidak sahih itu menggunakan perkataan meyakinkan untuk menipu orang dengan klik kepada "link' atau sambungan yang membuka laman web palsu atau laman web e-perbankan palsu.

"Oleh kerana laman web palsu nampak sama seperti laman web sahih, pelanggan tertipu untuk memasukkan maklumat peribadi mereka seperti nama pengguna dan kata laluan dalam laman web e-perbankan palsu.

"Bank tidak akan meminta pelanggan mengemaskini akaun, mengubah semula kata laluan, membuka kunci akaun atau sebarang maklumat berkaitan perbankan melalui e-mel dan alamat URL," katanya.-Bernama

Oleh itu, Pusat Bantuan Cyber999 menasihatkan orang awam supaya mengendahkan jika menerima e-mel yang nampak sama dari bank atau mana-mana institusi kewangan.

Pusat itu meminta pelanggan supaya memeriksa kesahihan e-mel yang diterima dengan pihak bank atau menghubungi pusat berkenaan