Curi maklumat guna Internet
26 Dec 2009 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 25 Dis.-Perbuatan mencuri maklumat menerusi Internet semakin meningkat, demikian menurut Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity Malaysia.

Pusat Bantuan Cyber999 menerima banyak laporan daripada pengguna Internet mengenai laman-laman web yang hosnya dari luar negara. Ia seperti beberapa laman web e-perbankan bank-bank terkemuka di negara ini.

Laman-laman web palsu digunakan untuk 'serangan mencuri' yang memanipulasi kelemahan keselamatan manusia dengan menceroboh entiti sebenar, sebagai contoh, meniru laman web perbankan biasa.

"Serangan mencuri" ini juga menggunakan taktik seperti menghantar e-mel spam, katanya dalam kenyataannya di sini.

Kandungan e-mel terbabit menggunakan perkataan- perkataan yang menyakinkan untuk menipu orang ramai supaya membuka hubungan yang akan membuka kepada laman-laman web perbankan palsu.

Oleh kerana laman-laman web itu seperti menyamai laman web sebenar, pelanggan biasanya terpedaya dengan memasukkan maklumat sulit, seperti nama pengguna dan kata laluan e-perbankan ke dalam laman web e-perbankan palsu itu.