Keselamatan siber rumah
7 Jan 2010 (Utusan Malaysia)

Oleh SITI HAZWAH ABD. KARIM

Pergantungan terhadap teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) khasnya Internet di kalangan masyarakat kini tidak dapat disangkal lagi.

Ini dapat dilihat daripada aktiviti seharian seseorang di mana hampir keseluruhannya membabitkan penggunaan ICT dan Internet.

Bermula dari memuat turun muzik dan permainan komputer, pembelian buku atau majalah, mendapatkan rakan baru, bermain permainan interaktif dan belajar, semuanya dilakukan dalam talian.

Bagaimanapun, dengan berkembangnya ICT dan Internet, pengguna Internet sedang berhadapan dengan risiko baharu iaitu risiko ancaman siber.

Tanpa pengetahuan yang mendalam akan keselamatan di alam siber, pengguna Internet terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah siber.

Penjenayah siber sentiasa mencuba pelbagai kaedah baru bagi memerangkap mangsanya.

Antara jenayah siber yang kian meningkat ialah penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian ke atas program atau data komputer, kecurian maklumat, pengintipan, penggodaman dan penyebaran virus dan cecacing komputer.

Malah, kecurian identiti dalam Internet kini kerap dilaporkan di Malaysia dan kebiasaannya membabitkan pengguna laman web berasaskan perbankan dan jualan dalam talian.

Ia dilakukan oleh penjenayah siber dengan menggunakan taktik phishing antaranya menghasilkan laman web palsu yang menyerupai laman web perbankan sebenar. Pengguna yang tertipu akan memasukkan kata laluan di laman web palsu ini dan maklumat ini akan diperoleh oleh penjenayah siber.

Merujuk kepada statistik yang diperoleh daripada Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), jumlah kes jenayah siber semakin bertambah dari tahun 1987 sehingga 2008.

Ini menunjukkan bahawa alam siber juga tidak bebas dari jenayah dan dengan kecanggihan aplikasi komputer, jenayah yang dilakukan memberikan impak yang parah kepada mangsa.

Penjenayah siber senantiasa mencari peluang dan kaedah baru bagi memerangkap mangsanya.

Langkah keselamatan

Kesan daripada peningkatan jenayah siber ini, pengguna Internet dinasihatkan untuk melindungi diri melalui pelbagai langkah keselamatan yang telah disarankan oleh CyberSecurity Malaysia.

Antaranya ialah:

Memastikan kata laluan yang digunakan adalah alphanumeric, iaitu gabungan nombor dan abjad. Kata laluan hendaklah dihafal dan tidak dituliskan di mana-mana. Kata laluan ini hendaklah ditukar sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

Berhati-hati dalam memberikan maklumat peribadi di dalam laman web, e-mel, sistem pemesejan segera, bilik bual atau pada papan mesej, terutamanya apabila pengguna tidak pasti tujuannya.

Pengguna berhak untuk bertanyakan mengapa dan bagaimana maklumat yang diberi akan digunakan.

Memerhatikan tanda-tanda kecurian identiti seperti bil yang hilang atau lambat sampai, menerima kad kredit yang tidak dipohon, ditolak kredit atau ditawarkan terma yang kurang menguntungkan tanpa sebab-sebab yang jelas, atau dihubungi oleh pemungut hutang atau pihak-pihak berkenaan mengenai pembelian yang tidak dibuat.

Jangan membuka e-mel, fail atau pautan laman web daripada pihak yang tidak dikenali atau dicurigai isi kandungannya.

Memastikan lampiran e-mel adalah daripada sumber yang dipercayai sebelum membukanya. Jangan berikan respons kepada e-mel yang meminta maklumat peribadi, maklumat daftar masuk atau pengesahan tukar kata laluan,

Menggunakan antivirus, anti-spyware dan program firewall yang disokong dengan baik oleh pembekalnya. Pastikan program yang digunakan adalah terkini dan dikemas kini dari masa ke semasa.

Bagi pengguna yang memiliki akaun perbankan dalam talian, anda disarankan memeriksa akaun bank dengan kerap untuk memastikan tiada pengeluaran palsu dijalankan. Jika melakukan pembelian dalam talian, gunakan kad kredit. Kad kredit biasanya mempunyai perlindungan yang lebih terjamin bagi liabiliti peribadi.

Semasa melawat laman web perbankan dalam talian, periksa sama ada tarikh dan masa sepadan dengan tarikh dan masa bagi pendaftaran masuk terakhir. Jika akaun bank telah terjejas, bertindak pantas dan laporkan kepada bank.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai langkah - langkah keselamatan yang disarankan oleh CyberSecurity Malaysia, pengguna boleh melayari www.esecurity.org.my.

Pengguna-pengguna Internet yang terlibat atau menjadi mangsa jenayah siber bolehlah melaporkan kes-kes tersebut kepada agensi-agensi dan kementerian-kementerian yang berkaitan.

Kesimpulannya, pengguna Internet mampu melakukan perubahan dan impak dalam menangani isu jenayah siber. Ini dilakukan dengan melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan mengenai langkah keselamatan siber antaranya seperti yang disarankan oleh CyberSecurity Malaysia.

Sikap sentiasa berwaspada dan berhemah ketika melayari alam siber mampu melindungi serta memerangi jenayah siber.

Sementara itu, CyberSecurity Malaysia menawarkan perkhidmatan Cyber999 yang menerima aduan-aduan jenayah siber dan memajukan kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab.

Kesimpulannya, pengguna Internet mampu melakukan perubahan dan impak dalam menangani isu jenayah siber.

Ini dilakukan dengan melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan mengenai langkah keselamatan siber antaranya seperti yang disarankan oleh CyberSecurity Malaysia.

Sikap sentiasa berwaspada dan berhemah ketika melayari alam siber mampu melindungi serta memerangi jenayah siber.