Serangan Siber Di Malaysia Terkawal
8 FEB 2010 (Bernama)

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Serangan siber di Malaysia masih terkawal, hasil usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan persekitaran elektronik dalam negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri.

"Keselamatan siber Malaysia adalah sama seperti di tempat lain di dunia, dan cabaran yang kita alami masih terkawal (serangan siber), katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata keajaan meningkatkan usaha untuk menangani isu itu menerusi CyberSecurity, yang merupakan pusat pakar keselamatan siber di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Kami adalah sebahagian daripada rangkaian nilai yang membabitkan keselamatan siber. Apabila ada kes yang dirujuk kepada Meja Bantuan Cyber 999, kami akan menyiasat dan menasihatkan mangsa langkah yang perlu diambil," katanya ketika ditemui pada Koktel Rangkaian Profesional Keselamatan Siber, Isnin.

Meja Bantuan Cyber 999 ialah pusat laporan sehenti untuk membuat aduan mengenai sebarang kejadian yang berlaku dalam ruang siber.

Tahun lepas beliau berkata, sebanyak 3,564 kes dilaporkan menerusi pusat itu, peningkatan sebanyak 68 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Angka ini menunjukkan kesedaran mengenai keselamatan siber semakin meningkat," katanya.

CyberSecurity, katanya juga menjalin usaha sama dengan semua peserta utama, termasuk kerajaan negeri dan tempatan, selain sektor swasta bagi memastikan respons yang teratur dan seragam terhadap insiden siber pada masa depan.

"Berdasarkan kerosakan besar yang boleh disebabkan oleh satu serangan siber, respons sementara tidak memadai. Juga tidak memadai hanya mengukuhkan pertahanan selepas kejadian atau serangan berlaku.

"Kami mempunyai perancangan dan sumber untuk menyebar maklumat, memberi amaran dan memastikan respons bersepadu bagi menangani ancaman ke atas masyarakat," katanya.

Memetik satu laporan tahun lepas, beliau berkata Malaysia rugi RM1 juta menerusi perbankan Internet di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung memberitahu Parlimen, sebanyak 50.3 transaksi perbankan Internet dilakukan dari Januari hingga Jun 2009, membabitkan RM348.5 bilion, dengan kerugian hanya RM1 juta.

Chor berkata ia hanya melibatkan 0.0003 peratus daripada keseluruhan transaksi elektronik itu.

Husin berkata tahun lepas, CyberSecurity melancarkan Pusat Penyelidikan Malware yang menunjukkan seriusnya serangan malware (perisian merosakan sistem komputer) dan ancaman baharu lain.

"Ia memain peranan penting dalam mengenal pasti dan menganalisis ancaman baharu yang mungkin menjejaskan infrastruktur dan ekonomi kritikal Malaysia," katanya.

Pusat itu mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan tenaga kerja dan perkhidmatan bertaraf dunia pada masa depan, kata Husin.

Mengikut petunjuk prestasi utama 2010, CyberSecurity perlu melatih kira-kira 1,500 pakar dalam negara tahun ini dalam industri itu berbanding 700 pekerja pada Jun tahun lepas.

CyberSecurity, katanya juga sedang mengenal pasti rakan usaha sama antarabangsa bagi menangani isu dalam ruang siber dan perkongsian ilmu.

Baru-baru ini ia menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Jabatan Pos, Telekomunikasi dan Teknologi Baharu, Magribi bagi menjalin hubungan kerjasama.