Latihan tahunan APCERT perhalusi taktik
1 FEB 2010 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Anggota Pasukan Respons Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) telah menamatkan latihan tahunan menangani jenayah siber, dengan terus memperhalusi taktik anti jenayah siber.

Latihan berkenaan yang bertujuan menguji kemampuan Pasukan Respons Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) dari ekonomi Asia Pasifik, dengan Cybersecurity Malaysia memainkan peranan sebagai penyelaras latihan untuk tahun ketiga.

Cybersecurity Malaysia merupakan anggota APCERT, satu badan yang ditubuhkan oleh CSIRTS utama dan negara dari rantau Asia Pasifik.

Pengerusi APCERT, Roy Ko berkata, latihan itu penting kerana serangan siber tanpa sempadan.

"Ia penting bagi setiap CSIRT berkongsi maklumat dan pengalaman mengenai pengendalian kejadian rentas sempadan, untuk memperhalusi dan menguji tempat hubungan dan prosedur serta untuk bertindak kepada serangan Internet aktif yang berlaku," kata Ko dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tema tahun ini ialah 'Mencegah Jenayah Siber dengan Insentif Kewangan'.

Ia dihadiri 16 pasukan daripada 14 ekonomi yang memberi respons kepada kejadian dan berkongsi maklumat untuk mengesan serta mengambil tindakan untuk menghentikan atau menyekat sistem yang menjadi hos kepada laman yang merbahayakan atau terlibat dalam penyebaran serangan di seluruh rantau. - BERNAMA