Kerjasama Antarabangsa Perkukuh Peranan CyberSecurity
5 march 2010 (Bernama)

Oleh Bashirah Bakar

KUALA LUMPUR, Isu keselamatan Internet merupakan isu yang melampaui sempadan.

Oleh itu, kerjasama antarabangsa adalah penting bagi membantu menyelesaikan isu-isu siber berbangkit di negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri.

CyberSecurity Malaysia adalah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan siber dan menggalakkan keselamatan Internet di kalangan pengguna di Malaysia.

"Budaya berkongsi maklumat dengan agensi berperanan sama di luar negara sememangnya dapat membantu mengurangkan ancaman di alam siber," kata Husin pada temubual dengan Bernama baru-baru ini.

Husin berkata sehingga kini CyberSecurity Malaysia telah mengadakan kerjasama dengan 71 negara termasuk di rantau Asia Pasifik dan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Katanya, CyberSecurity Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer OIC, dan Ahli Jawatankuasa Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Asia Pasifik.

"Kerjasama antarabangsa ini menandakan satu daripada kejayaan CyberSecurity Malaysia, dan peranan yang kita mainkan di peringkat antarabangsa ini adalah satu yang boleh dibanggakan," kata Husin.

MEMELIHARA KESEJAHTERAAN SIBER SEJAGAT

CyberSecurity Malaysia kerap bertukar maklumat tentang ancaman siber dengan agensi-agensi asing di samping saling mempelajari strategi daripada pihak asing dalam menangani isu-isu siber.

Mengamalkan nilai dan standard Amalan Terbaik Antarabangsa, contohnya dalam bidang forensik digital melalui kerjasama dengan negara Korea Selatan membolehkan CyberSecurity Malaysia memperluaskan rangkaian.

CyberSecurity juga mematuhi standard antarabangsa (ISO) dalam kerjasama penyelidikannya di peringkat antarabangsa, kata Husin.

Pada Januari tahun ini, CyberSecurity Malaysia bergabung tenaga bersama Pasukan Respons Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) dalam menganjurkan latih amal untuk menguji keupayaan tindak balas pasukan Respons Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) dari negara-negara Asia Pasifik. Latih amal siber itu membabitkan penyertaan 16 pasukan dari 14 buah negara di Asia- Pasifik termasuk Korea Selatan, Jepun, China, Australia, Hong Kong dan Malaysia.

Terdahulu, pada Januari juga CyberSecurity Malaysia memeterai memorandum persefahaman dengan Jabatan Pos, Telekomunikasi dan Teknologi Baharu Maghribi dengan kedua-dua negara bersetuju mengadakan kerjasama meliputi bidang seperti perlindungan infrastruktur maklumat kritikal, pembangunan rangka kerja keselamatan siber, pembangunan keupayaan, latihan dan kesedaran.

Menurut Husin memang terdapat platform di peringkat antarabangsa yang membincangkan tentang isu jenayah siber, seperti Konvensyen Jenayah Siber Eropah.

"Melibatkan diri atau mengelolakan persidangan, bengkel atau seminar antarabangsa merupakan cara terbaik untuk CyberSecurity Malaysia mengemaskini pengetahuan dalam pelaksanaan berkaitan isu-isu siber," kata Husin.

Misalnya, pada 8 dan 9 Feb lepas CyberSecurity Malaysia mengadakan Forum Rangkaian Profesional Keselamatan Maklumat dan seminar bersama agensi-agensi antarabangsa di Kuala Lumpur.

Menurut Husin, acara ini menjemput para profesional dari United Kingdom untuk menyampaikan ceramah kepada kumpulan profesional di Malaysia mengenai maklumat terkini tentang alat, trend, perundangan dan strategi berkenaan isu keselamatan siber.

KEPAKARAN CANGGIH DAN CABARAN

CyberSecurity Malaysia bertindak sebagai sebuah agensi teknikal yang menjalankan analisis dan aktiviti berorientasi indeks teknikal untuk menjaga keselamatan siber negara daripada aspek teknologi dan kepakaran.

Contohnya, apabila pihak berkuasa memerlukan sokongan sistem teknikal yang canggih untuk menganalisis bahan bukti digital, CyberSecurity Malaysia berperanan membantu mencari penyelesaian bagi masalah berkaitan.

CyberSecurity Malaysia turut mengadakan aktiviti dan program latihan untuk Prasarana Kritikal Negara bagi memperkuat sistem komputer sektor swasta dan kerajaan.

Dalam memikul tanggungjawab ini, CyberSecurity Malaysia melalui pelbagai cabaran, kata Husin.

"Ini termasuk cabaran dalam pengumpulan bahan bukti yang berada di luar negara, yang mengambil masa dan memerlukan proses penilaian semula oleh negara terbabit," katanya.

Bagaimanapun, menurut Husin keupayaan agensi penguatkuasa dalam mendakwa jenayah siber di Malaysia telah meningkat.

"Bantuan teknikal daripada CyberSecurity dapat membantu penguatkuasaan," kata Husin.

WUJUDKAN PERSEKITARAN NIAGA SEJAHTERA

CyberSecurity Malaysia memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam membantu mewujudkan persekitaran yang selamat bagi aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk terus berkembang di dalam dan luar negara.

Pelaksanaan Dasar Keselamatan Siber Nasional, contohnya, secara langsung dan tidak langsung membantu mengubah suasana ICT ke arah yang lebih positif.

"Kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menangani isu-isu siber pula menjana aktiviti ekonomi. Contohnya industri ICT tempatan membangunkan penyelesaian perisian dan penyelesaian perkakasan dalam penghasilan aplikasi seperti capaian biometrik, pembaca MyKad, cip dan aplikasi lain," kata Husin.

Sebagai sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan, CyberSecurity Malaysia dibiayai oleh kerajaan untuk membantu industri dalam meningkatkan kualiti produk ICT yang memerlukan fungsi keselamatan.

"CyberSecurity Malaysia mengeluarkan cop dan pengiktirafan kualiti untuk keselamatan pengguna, peniaga dan industri bagi membantu meningkatkan kualiti dan nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan mereka di luar negara.

"Dengan itu pengusaha perkakasan tempatan dan pembangun perisian berpeluang menjual produk di luar negara pada tahap kualiti yang disahkan selamat," katanya.

Menurut Husin, sehingga kini CyberSecurity Malaysia telahpun mempunyai rangkaian kerjasama dengan 17 negara asing dalam memberi manfaat kepada pengusaha dan pengguna melalui pengiktirafan kualiti produk berasaskan ICT.

HASIL JALINAN KERJASAMA

Pencapaian terbesar CyberSecurity Malaysia menurut Husin ialah pengiktirafan dunia kepada usaha negara dalam agenda-agenda keselamatan dan kesejahteraan di alam siber, yang tentunya memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga pengguna Internet di seluruh dunia.

"Dengan adanya kerjasama antarabangsa, Malaysia dapat meminta bantuan daripada rakan strategik dari luar negara sekiranya terdapat penggodam di luar negara yang mengancam Malaysia dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Terbaru, sumbangan CyberSecurity Malaysia ke peringkat antarabangsa juga meliputi penyediaan maklumat secara percuma di laman web www.cybersafe.my . Laman ini menyediakan maklumat berguna untuk membantu orang ramai di seluruh dunia menggunakan Internet secara selamat.

Menurut Husin, orang ramai juga boleh mengemukakan aduan dan mendapatkan sebarang maklumat mengenai ancaman siber di laman web CyberSecurity Malaysia (www.cybersecurity.my) atau menghubungi perkhidmatan Pusat Bantuan Cyber999 yang beroperasi 24 jam sehari melalui e-mel cyber999@cybersecurity.my atau telefon 1-300-88-2999.