Kesedaran Serangan Siber Penting Untuk Penembusan Jalur Lebar 50 Peratus
11 March 2010 (Bernama)

PETALING JAYA, Kesedaran mengenai serangan siber sangat penting bagi membolehkan Malaysia mencapai sasaran penembusan jalur lebar 50 peratus menjelang akhir tahun berbanding 32.4 peratus pada masa ini.

Isu keselamatan yang dihadapi oleh pengguna komputer/Internet akan meningkat berikutan penembusan jalur lebar yang meningkat, kata ketua Pusat Bantuan MyCert dan Cyber999, Adli Abdul Wahid.

Pengenalan Cyber999, perkhidmatan yang dilancarkan oleh CyberSecurity Malaysia pada Julai tahun lepas, mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai serangan siber, katanya.

Beliau bercakap pada sesi "Safety Bytes" anjuran Symantec di sini hari ini. Turut hadir ketua perniagaan Norton bagi Asia Selatan, Effendy Ibrahim, dan ketua perbankan maya Malayan Banking Bhd (Maybank), Choong Wai Hong.

"Semasa kami melancarkan Cyber999, orang ramai menyedari bahawa mereka boleh melaporkan kes penipuan, gangguan dan pencerobohan dalam talian, kepada kami bagi membantu mereka mengatasi atau menangani kes-kes berkenaan," kata Adli.

Lebih 700 kes dilaporkan kepada Cyber999 sehingga Februari tahun ini. Ia menerima 3,600 laporan tahun lepas.

CyberSecurity Malaysia ialah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Komputer peribadi yang tidak dilindungi boleh diceroboh dalam tempoh empat minit ia disambungkan ke Internet berikutan peningkatan jenayah siber, kata Effendy yang menambah, maklumat dan fail peribadi juga menghadapi risiko kehilangan data.

"Bagi melindungi pengguna, Symantec melancarkan versi terkini Norton 360 yang meliputi teknologi keselamatan terkini selain akses remote untuk melindungi data sokongan," katanya.

Mengulas mengenai ancaman siber dalam industri perbankan, Choong berkata 1,191 kes penipuan perbankan Internet dikesan dalam tempoh Januari-Jun tahun lepas atau 0.003 peratus daripda jumlah nilai transaksi.

"Sebagai perbandingan, ia banyak berkurangan dari segi kerugian berbanding jenayah kewangan lain. Namun kami perlu mengambil perspektif bahawa bilangan pelanggan perbankan Internet semakin meningkat, oleh itu kami perlu mengimbanginya," katanya.

Memandangkan ancaman terhadap industri perbankan semakin meningkat, Chong berkata Maybank menjalin usaha sama dengan firma keselamatan bagi mengesan secara proaktif serta menangani kes penipuan, menjalin kerjasama rapat sesama bank, pengawal aturan, perkhidmatan keselamatan dan polis, serta menganjurkan kempen kesedaran awam.