Pelupusan Cakera Keras Di Antara CyberSecurity Malaysia & Perbadanan Putrajaya

Kerjasama bagi melupuskan cakera keras dapat memelihara kerahsiaan data sensitif kerajaan di samping menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar

Putrajaya, 30 Mac 2010 - CyberSecurity Malaysia dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menandatangani perjanjian kerjasama pelupusan cakera keras tanpa melibatkan apa-apa kos ke atas mana-mana pihak.

Dalam perjanjian tersebut, PPj akan menyerahkan cakera-cakera keras yang telah rosak dan yang tidak digunakan lagi untuk dilupuskan oleh CyberSecurity Malaysia. Pelupusan data serta maklumat yang terdapat di dalam ke semua cakera keras ini akan dibuat secara kekal bagi memastikan ke semua data serta maklumat yang terkandung di dalam cakera keras luput sepenuhnya.

Pelupusan data serta maklumat secara kekal ini amat penting bagi semua pihak agar informasi tersebut tidak digunapakai dan dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. Proses pelupusan ini juga dibuat sebagai salah satu initiatif keselamatan maklumat bagi menjamin integriti serta reputasi sesebuah organisasi. Justeru, melalui perjanjian kerjasama seumpama ini, adalah diharapkan supaya ianya dapat memberi kesedaran dan makluman kepada organisasi kerajaan yang lain untuk turut sama mengambil langkah melupuskan data-data serta maklumat yang terdapat di dalam simpanan cakera keras mereka.

Menurut Lt. Kol. Husin bin Jazri (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia: "Di samping menyediakan perkhidmatan keselamatan Internet, CyberSecurity Malaysia turut mempunyai kepakaran dalam membaikpulih dan melupuskan data serta maklumat yang terdapat di dalam cakera keras. Perkhidmatan membaikpulih serta pelupusan data ini hanya dijalankan apabila di minta secara bertulis oleh organisasi kerajaan termasuklah PPj. Dalam pada itu, CyberSecurity Malaysia akan sentiasa memastikan agar kerahsiaan data-data yang didedahkan semasa proses pelupusan ataupun membaikpulih cakera-cakera keras diperlihara dan dijaga sepenuhnya. Adalah menjadi hasrat kami untuk menjadikan CyberSecurity Malaysia sebagai Pusat Membaikpulih Data Kebangsaan (National Data Recovery Centre)".

Perjanjian kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan PPj pada hari ini bertujuan untuk memastikan data-data milik PPj yang terkandung di dalam cakera keras yang rosak dan tidak lagi digunakan, dapat dihapuskan secara kekal dengan cara yang betul dan selamat oleh CyberSecurity Malaysia.

Tan Sri Samsudin Osman, Presiden PPj pula berkata "Proses pelupusan data di dalam cakera keras ini bukan sahaja menepati keperluan kedua belah pihak, malah ianya turut membantu memelihara alam sekitar disebabkan pengurangan bahan buangan apabila cakera-cakera keras yang telah rosak dan tidak lagi diperlukan dapat dikitar semula sebagai alat ganti". Beliau juga amat mengalu-alukan kerjasama ini, memandangkan pada ketika ini PPj sedang berusaha untuk menerajui Teknologi Hijau di dalam membangun dan mentadbir Pusat Kerajaan Persekutuan Putrajaya. PPj juga merupakan agensi pertama yang telah menandatangani perjanjian secara rasmi untuk kerjasama seumpama ini dengan CyberSecurity Malaysia.