PPj lupus cakera keras cara selamat (Utusan Malaysia)

PUTRAJAYA 30 Mac - Semua cakera keras (hard disk) yang tidak digunakan lagi oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) diserahkan kepada CyberSecurity Malaysia sebagai langkah membendung keciciran maklumat kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Presidennya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, selain memelihara kerahsiaan data sensitif kerajaan, langkah itu juga menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

"Pelupusan data serta maklumat secara kekal ini amat penting bagi semua pihak agar semua informasi tersebut yang tidak diguna pakai dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

"Proses pelupusan ini juga dapat membantu memelihara alam sekitar disebabkan pengurangan bahan buangan apabila cakera keras yang telah rosak dan tidak digunakan lagi dapat dikitar semula sebagai alat ganti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Perjanjian Pelupusan Cakera Keras antara PPj dan CyberSecurity Malaysia yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt. Kol. (B) Husin Jazri, di sini hari ini.

Samsudin berkata, pihaknya merupakan agensi pertama menandatangani perjanjian secara rasmi bagi tujuan pelupusan itu tanpa melibatkan kos.

"Proses pelupusan ini juga dibuat sebagai salah satu inisiatif keselamatan maklumat bagi menjamin integriti serta reputasi sesebuah organisasi.

"Memandangkan PPj merupakan agensi pertama, adalah diharapkan supaya ia dapat memberi kesedaran kepada organisasi kerajaan yang lain untuk turut mengambil langkah yang sama," katanya.

CyberSecurity Malaysia menyediakan perkhidmatan keselamatan internet, membaik pulih serta melupuskan data serta maklumat yang terdapat di dalam cakera keras secara kekal dan selamat.

Agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu hanya menjalankan perkhidmatan itu apabila diminta secara bertulis oleh organisasi kerajaan.