Keselamatan Internet paling utama
Oleh Salmiah Abdul Hamid (Harian Metro)
26 May 2010

ASPEK keselamatan dalam talian adalah sesuatu yang perlu di ambil perhatian berat kerana statistik menunjukkan seorang daripada lima pengguna laman web bakal menjadi mangsa penjenayah siber.


KERJASAMA UTUH...(dari kiri) Chong, Effendy dan
Ketua Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia,
Adli Abdul Wahid mengharapkan kerjasama erat kerajaan dengan swasta.

Ketua Perniagaan Norton Asia Selatan, Effendy Ibrahim, berkata satu daripada empat laman web dijangkiti oleh kod jahat atau 'malicious' dan 'pishing' yang sukar ditentukan oleh mata kasar.

"Ia biasanya menyamar dan boleh memasuki komputer sekiranya pengguna mengikut arahan yang dipaparkan di muka komputer seperti 'komputer anda mengalami gangguan virus yang tinggi, sila muat turun antivirus ini sebagai pelindung maksimum'.

"Pengguna yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai laman web virus bakal berhadapan masalah yang lebih sukar sekiranya memberikan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad pengenalan malah terdapat juga lama web yang meminta pengguna memberikan nama dan kata laluan akaun bank," katanya.

Menurutnya, Symantec berjaya mengesan jenayah siber berlaku setiap 0.25 saat dalam pelbagai bentuk. Sepanjang 2008, sebanyak 18 juta virus yang dikesan menerusi aktif dalam muat turun berjaya diselesaikan manakala dari Ogos ke Oktober 2009 berjaya menyelesaikan 17.4 juta virus dan menghalang kemasukan 11 juta ancaman setiap bulan.

Menurut Eksekutif Timbalan Presiden Ketua Perbankan Maya, Maybank, Chong Wei Hong, sebanyak 1,191 kes perbankan Internet dikesan sepanjang Januari hingga Jun 2009. "Bank terkenal seperti Maybank, CIMB dan Public Bank tidak sunyi dengan ancaman 'phishing' menerusi e-mel palsu yang dikirimkan kepada orang awam walaupun ada antaranya yang tidak langsung mempunyai akaun bank berkenaan.

"Industri perbankan berusaha menjaga kebajikan pelanggannya terutamanya apabila dikaitkan dengan sistem keselamatan. Kerjasama antara bank, akta dan undang-undang perbankan sentiasa dikemas kini malahan pelbagai kempen diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.