CyberSecurity Jadi Tuan Rumah CSM-ACE 2010 Minggu Depan
19 Oktober 2010 (Bernama)

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia, pusat pakar keselamatan siber negara akan menganjurkan Persidangan, Pameran dan Anugerah Cyber Security Malaysia (CSM-ACE) 2010 di Kuala Lumpur Convention Centre mulai 25 hingga 29 Okt.

Ketua Pegawai Eksekutif Lt-Kol (B) Husin Jazri berkata acara berkenaan bertemakan "Menjamin Bandar Digital Kita", diadakan dengan visi mewujudkan komuniti keselamatan siber yang terlibat di peringkat
tempatan, negeri, negara dan antarabangsa.

"Pada masa ini, kita semua tinggal dalam bandar digital di mana komuniti menggabungkan infrastruktur komunikasi jalur lebar dan perkhidmatan inovatif bagi memenuhi keperluan kerajaan, perniagaan dan awam," kata beliau dalam satu kenyataan.

Husin berkata persidangan itu merupakan satu inisiatif yang akan menyediakan kesedaran dan pengetahuan kepada komuniti dan keselamatan siber dan amalan terbaik yang diperlukan untuk menjamin dunia digital.

Persidangan berkenaan dijangka menarik lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara, mereka yang berpengaruh dan inovatif dalam perniagaan, kerajaan serta ahli akademik.

Penceramah termasuk Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Prof Benoit F. Morel dari Carnegie Mellon University, Australia.

CSM-ACE 2010 merupakan acara keselamatan teknologi komunikasi dan maklumat terbesar yang akan dihoskan di Malaysia dan dijangka menjadi acara industri tahunan yang membentuk lanskap keselamatan maklumat rantau ini.

-- BERNAMA