Laman sosial mudah diceroboh
Harian Metro (13 May 2011)

LAPORAN Perisikan Sekuriti edisi ke-10 (SIRv10) yang dikeluarkan Microsoft Corporation mendedahkan peningkatan lebih 1,200 peratus dalam aktiviti menceroboh sistem komputer khususnya melalui laman sosial yang dilakukan penjenayah siber kini.

Pengurus Besar Pusat Perlindungan Malware Microsoft, Vinny Gullotto berkata, populariti laman sosial seperti Facebook dan Twitter pada masa kini didapati membuka peluang luas kepada penjenayah siber untuk menjerat lebih ramai mangsa termasuk rakan dan ahli keluarga sendiri menerusi penyamaran.

Menurutnya, berbanding hanya 8.3 peratus dicatatkan bagi penggunaan laman sosial sebagai tempat mengumpan daripada semua jenis aktiviti menggodam pada Januari tahun lalu, peratusan itu nyata naik mendadak pada Disember lalu dengan catatan 84.5 peratus.

"Kaedah penggunaan laman sosial ini menambah bilangan teknik kejuruteraan sosial sedia ada yang digunakan penjenayah siber bagi aktiviti menggodam yang antaranya bertujuan memerang?kap pengguna untuk memuat turun kandungan berbahaya dan sebagainya.

"Melalui laman sosial ini, mereka (penjenayah siber) kini lebih mudah mengumpan mangsa berikutan maklumat peribadi pengguna sering dipaparkan di akaun laman sosial masing-masing di samping mangsa kebanyakannya terdiri daripada orang yang dikenali," katanya pada sesi taklimat media di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Husin Jazri dan bekas Pegawai Teknologi Nasional Microsoft Malaysia, Dzahar Mansor.

Vinny berkata, pihak Microsoft bersama seluruh industri perisian sentiasa berusaha mempertingkatkan sistem keselamatan pengguna siber lebih-lebih lagi dengan kaedah umpan terbaru yang memerlukan kami lebih bekerja keras.

"Di Malaysia amnya, antara kategori ancaman siber yang sering menyerang komputer pengguna khusus bagi 2010 termasuk Worms, Misc Potentially Unwanted Software dan Misc Trojans.

"Tahun lalu saja, Microsoft melindungi hampir 19 juta sistem daripada perisian sekuriti berbahaya yang 70 peratus atau kira-kira 13 juta daripadanya disebabkan lima perisian sekuriti berbahaya utama antaranya Win32/FakeSpyPro," katanya.

SIRv10 dibuat selepas kajian dilakukan terhadap 600 juta sistem di seluruh dunia dari Julai hingga Disember tahun lalu.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial