PM Akan Rasmi Seminar Mengenai Aspek Perundangan, Teknikal Kes Jenayah Siber
Bernama (13 June 2011)

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama)-Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan seminar yang menggabungkan aspek perundangan dan teknikal berkaitan dengan kes jenayah siber, yang akan berlangsung di sini pada 7 Julai ini.

Seminar tiga hari bertajuk "Merapatkan Jurang: Aspek Perundangan dan Teknikal Kes Jenayah Siber" itu akan membolehkan profesional perundangan dan teknikal berkongsi maklumat mengenai pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Seminar itu akan dianjurkan oleh Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia, menurut kenyataan yang dikeluarkan Isnin oleh entiti berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan hadir pada majlis perasmian seminar itu.

Diharapkan seminar yang julung kali diadakan itu akan menjadi platform kepada pakar-pakar dalam bidang berkenaan untuk berbincang dan mencari penyelesaian terhadap masalah berkaitan dengan kes jenayah siber, menurut kenyataan.

Objektif seminar ialah memberi peluang lebih luas kepada peserta untuk memahami dengan lebih baik isu-isu perundangan yang timbul daripada penyiasatan dan pendakwaan kes jenayah siber, membincangkan aspek teknikal seperti keterangan dan bukti yang dikumpulkan dan forensik komputer, serta membincangkan mengenai kemungkinan merapatkan jurang antara aspek perundangan dan teknikal dalam kes jenayah siber.

"Keselamatan siber merupakan komponen yang amat penting dalam keselamatan negara, keselamatan awam dan privasi. Dengan kemajuan teknologi, peningkatan pesat penggunaan Internet di dalam negara dan, pada masa yang sama, kita semua terdedah kepada ancaman dunia siber.

"Seminar ini pasti akan menjadi platform yang baik bagi semua pihak berkenaan untuk menangani dan menerokai kemungkinan-kemungkinan untuk merapatkan jurang antara aspek perundangan dan teknikal kes-kes jenayah siber untuk menambahbaik dan meningkatkan keupayaan dan kapasiti keselamatan dalam aspek perundangan dan teknikal," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Lt Kol (B) Datuk Husin Jazri dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, beberapa penceramah berpengaruh dan pakar dalam bidang masing-masing akan dijemput ke seminar itu, dan pelbagai topik telah digariskan seperti "Cyber Crime Busters, Hacking the Criminal Mind, dan Internet-the Lawless Kingdom."

Pendaftaran dibuka kepada penguatkuasa undang-undang, pengawal atur, pendakwa raya, pembuat dasar, pegawai Teknologi Maklumat, penganalisis perusahaan, pensyarah, penyelidik serta ahli akademik dan butiran boleh didapati di laman web www.agcsm.my, menurut kenyataan itu.