Insiden keselamatan siber meningkat 147% - 7,404 kes termasuk cubaan dapatkan maklumat sensitive sepanjang
Januari - Jun

Utusan Malaysia (16 Julai 2011)

KUALA LUMPUR 15 Julai : Insiden keselamatan siber didapati meningkat sebanyak 147 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Husin Jazri berkata, ia berdasarkan sebanyak 7,404 insiden keselamatan siber dilaporkan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini berbanding hanya 2,991 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Dari segi kategori pula, kesemua sembilan kategori insiden keselamatan siber mencatatkan peningkatan ketara dengan kes penipuan dilaporkan paling tinggi.

"Ia diikuti dengan kes seperti spam, percubaan menceroboh, kod-kod berbahaya, gangguan siber, laporan ancaman siber, penafian perkhidmatan dan kesalahan berkaitan kandungan siber," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Husin menambah, daripada 2,820 kes penipuan siber yang dilaporkan tahun ini, kes 'phishing' iaitu percubaan untuk mendapatkan maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan dan data kad kredit dengan menyamar sebagi entiti sah dalam komunikasi elektronik mencatat jumlah kes paling tinggi.

Bagi insiden keselamatan siber lain, katanya, spam mencatat sebanyak 1,806 kes, pencerobohan (1,364), kod-kod berbahaya (637), percubaan menceroboh (336), gangguan siber (274), laporan ancaman siber (70), penafian perkhidmatan (63) dan kesalahan berkaitan kandungan (34).

"Peningkatan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang. "Jumlah ini akan terus meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar," katanya.

Husin menambah, CyberSecurity juga telah membangunkan aplikasi 'DontPhishMe' untuk melindungi pengguna siber daripada ancaman perkhidmatan perbankan Internet terutama 'phishing'.