CyberSecurity perkenal garis panduan laman sosial
Berita Harian (9 Sept 2011)

KUALA LUMPUR:CyberSecurity Malaysia memperkenalkan garis panduan internet yang baru, dikenali sebagai Amalan Terbaik Bagi Laman Perangkaian Sosial (SNS).

CyberSecurity Malaysia adalah pusat pakar keselamatan siber negara dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Prof Datuk Husin Jazri, berkata tujuan mewujudkan garis panduan berkenaan ialah bagi membantu pengguna SNS, sama ada organisasi atau individu untuk memahami "bahagian tidak baik" SNS.

"Dengan memahaminya, pengguna boleh mengetahui dengan baik apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di samping menikmati faedah menggunakan SNS.

"Amalan terbaik digunakan sebagai amalan yang diterima yang menyokong SNS dengan lebih etika serta melindungi keperluan keselamatan pengguna dan individu," katanya.

Husin berkata, kekurangan kesedaran di kalangan pengguna dari segi ancaman, ketidaktentuan dan risiko boleh membawa kepada kawalan yang kurang baik dan pengurusan penggunaan SNS serta keperluan untuknya.

Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 625 insiden berkaitan dengan laman perangkaian sosial dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999 berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 124 insiden.