CyberSecurity sasar bendung 50 peratus ancaman siber
Berita Harian (20 Sept 2011)

KUALA LUMPUR:CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) mensasarkan untuk membendung 50 peratus ancaman siber di negara ini bermula tahun depan menerusi pelaksanaan inisiatif membabitkan pihak kerajaan dan swasta secara agresif. Ketua eksekutifnya, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri, berkata sasaran mengurangkan kadar ancaman siber di Malaysia mampu dilaksanakan sekiranya semua pihak memainkan peranan meningkatkan pengetahuan mereka dalam dunia siber. Katanya, pengurangan ancaman siber secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara menerusi Teknologi Maklumat. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran produk Keselamatan Internet 2012 Norton di sini, sebentar tadi.

Menurut laporan yang dikumpul CyberSecurity, jumlah ancaman di negara ini bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu meningkat kepada 10,406 kes berbanding 8,090 kes yang dicatatkan pada Januari hingga Disember 2010.