Sekat ancaman siber
Harian Metro (12 Oct 2011)

KUALA LUMPUR: Seramai sembilan daripada 10 kanak-kanak di negara ini pernah terdedah kepada perkara negatif ketika melayari Internet menyebabkan mereka berisiko dipengaruhi unsur tidak sepatutnya seperti buli dan pornografi.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan rangka kerja dasar dan perundangan bagi melindungi golongan terbabit daripada ancaman dunia siber.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementerian komited bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan bagi membincangkan mengenai rangka kerja itu yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

Antara organisasi terbabit adalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu.

"Pelan mewujudkan rangka kerja dasar ini sejajar dengan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), September lalu yang mana merangkumi aspek perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak.

"Sudah tiba masanya keperluan perundangan, peraturan dan polisi dikaji secara lebih terperinci dalam usaha memastikan generasi ini dilindungi sekali gus menjadi pelengkap Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara," katanya pada Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber, di sini, semalam.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Buku Panduan Ke Arah Pengalaman Internet Mesra Keluarga khusus untuk ibu bapa dalam memacu penggunaan Internet oleh anak mereka secara lebih terkawal.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.