90% terdedah unsur negatif siber
Utusan Malaysia (12 Oct 2011)

Shahrizat Abdul Jalil berbual dengan beberapa pelajar sambil diperhatikan oleh Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pada seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Sebanyak 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak dan remaja berusia antara lima hingga 18 tahun di negara ini dilaporkan pernah terdedah kepada unsur-unsur negatif alam siber yang boleh memberi kesan kepada emosi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hasil kajian yang dikeluarkan oleh Laporan Kekeluargaan Norton Dalam Talian tahun lalu itu merangkumi unsur buli, kecurian data peribadi dan pornografi.

"Menyedari hakikat tersebut, kementerian akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia dan Digi untuk mewujudkan satu pelan strategik khusus bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian.

"Kementerian akan melihat sama ada perlu diwujudkan undang-undang, polisi atau peraturan tertentu bagi menangani masalah ini.

" Walaupun Internet mempunyai banyak kebaikan, namun pada masa sama, ada aspek negatif yang amat berbahaya kepada kanak-kanak dan remaja," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber, di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa kanakkanak di negara ini menghabiskan masa secara purata 19 jam seminggu untuk melayari Internet sedangkan ibu bapa beranggapan anak-anak mereka hanya meluangkan masa sebanyak 11 jam seminggu.

Shahrizat turut melancarkan buku panduan Guide for Family Friendly Internet Experience pada seminar yang dihadiri oleh lebih 400 peserta termasuk pelajar, ahli akademik, ibu bapa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Buku terbitan Digi Telecommunications dan CyberSecurity dengan sokongan kementerian itu mengandungi panduan dan langkah keselamatan yang boleh diambil oleh ibu bapa bagi membendung gejala negatif alam siber dalam kalangan anak mereka.

"Buku ini mudah difahami dan boleh dijadikan panduan asas oleh ibu bapa. Ini sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak dan penyertaan negara dalam Protokol Konvensyen Hak Kanak-Kanak Tentang Pemerdagangan Kanak-Kanak, Pelacuran Kanak-Kanak dan Pornografi Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada September lalu," katanya.

Tambah beliau, kementerian akan mengadakan program susulan melibatkan penyertaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis dan CyberSecurity bagi menambah pengetahuan ibu bapa dalam usaha melindungi anak-anak mereka.