Insiden keselamatan siber semakin meningkat
Utusan Malaysia (16 Nov 2011)

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kira-kira 8 juta kanak-kanak dan remaja berusia antara lima hingga 18 tahun di negara ini terdedah dengan pelbagai pengalaman negatif termasuk pembulian dan gangguan siber ketika mereka melayari laman Internet.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkarshi berkata, laporan daripada Cybersecurity menunjukkan bilangan insiden keselamatan siber dari Januari sehingga September tahun ini telah meningkat kepada 112 peratus berbanding 2010.

"Lebih membimbangkan data yang diperoleh daripada Norton Online Family pada 2010 menunjukkan empat daripada 10 ibu bapa tahu tentang laman sesawang yang kerap anak mereka lawati di Internet .

"Justeru ibu bapa perlu memastikan anak-anak menggunakan Internet secara selamat kerana mereka terdedah dengan pelbagai maklumat tanpa batasan dan jenayah yang berlaku di alam maya," katanya ketika merasmikan program Kesedaran Keselamatan Siber untuk semua, CyberSAFE Digi di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Kementerian Pelajaran, Prof. Dr. Khair Mohamad Yusof.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Henrik Clausen dan Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity, Lt. Kol (B) Prof. Datuk Husin Jazri.

Program CyberSAFE Digi merupakan program kerjasama antara Cybersecurity, syarikat telekomunikasi Digi, Childline Malaysia bersama Kementerian Pelajaran untuk memupuk kesedaran dalam kalangan murid mengenai tatacara penggunaan Internet.

Mohd. Puad berkata, banyak isu berkaitan penggunaan Internet secara tidak beretika dilaporkan yang berkaitan keselamatan penggunaan dan pelanggaran undang-undang siber yang bercanggah dengan pematuhan kebebasan media.