Kaji tubuh BCPM
Harian Metro (17 Nov 2011)

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji cadangan penubuhan Lembaga Tenaga Profesional ICT Malaysia (BCPM) bagi membentuk gagasan modal insan berkualiti tinggi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, semalam.

Beliau berkata, penubuhannya dapat mendorong produktiviti serta inovasi seperti yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).


"Cadangan penubuhan ini selaras dengan dua inisiatif pembaharuan strategik Model Baru Ekonomi (MBE) iaitu pembangunan tenaga kerja berkualiti dan pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing serta pembinaan infrastruktur berasaskan pengetahuan. "Malah, kami mencadangkan akta BCPM untuk Infrastruktur Maklumat Kritikal Kebangsaan (CNII) yang dikenal pasti sebagai sistem maklumat infrastruktur negara dikendalikan profesional," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2011, di sini, semalam. Hadir sama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha (Keselamatan Strategik) MKN, Datuk Mohd Ghazali Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Left Kol Prof Datuk Husin Jazri dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar.

Latihan amal dikenali sebagai X-Maya 4 itu disertai wakil daripada 66 organisasi sektor CNII seperti pertahanan dan keselamatan, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan. Ia acara tahunan diperkenalkan sejak 2008 bagi mengenal pasti tahap persediaan organisasi dan agensi dalam menghadapi ancaman dan serangan siber. Sementara itu, Ongkili berkata, kerajaan menggalakkan syarikat di negara ini mengeluarkan produk teknologi tempatan bagi mengelakkan kebergantungan kepada perkakasan teknologi luar negara. "Bagi memastikan produk berkualiti, ia perlu diiktiraf piawaian antarabangsa, tetapi memerlukan jumlah bayaran tinggi untuk diuji dan diiktiraf. "Namun, CyberSecurity sudah diiktiraf pada September lalu dan mempunyai kuasa mengiktiraf produk teknologi tempatan," katanya.