Ancaman jenayah siber
Utusan Malaysia (16 April 2012)

KEPERLUAN sesebuah negara mempunyai undang-undang siber yang selaras dengan negara lain di dunia bukan saja wajar malah amat penting.

Ini kerana jenayah siber tidak seperti jenayah lain yang mempunyai bukti-bukti fizikal di tempat kejadian bagi memudahkan analisis mencari penjenayah.

Malah mangsa jenayah siber dalam kebanyakan kes tidak pernah bertemu dengan pemangsa mereka yang biasanya berbual menerusi laman web sosial, e-mel atau mesej pantas (IM).

Biasanya jenayah siber melibatkan jenayah komersial melibatkan 'rompakan' atau 'pemindahan' wang yang banyak kepada akaun penjenayah.

Justeru tugas pihak polis juga semakin tercabar dengan meningkatnya kadar jenayah siber setiap hari.

"Ini termasuk phishing, scaming, penyalahgunaan rangkaian, laman sosial dan pelbagai kaedah yang dapat 'merompak' wang mangsa," kata Ketua Unit Penyiasatan Jenayah Deputi Suprintendan Mahfuz Abdul Majid.

Mahfuz menjalani pelbagai latihan profesional intensif dalam bidang Rangkaian dan Digital Forensik serta banyak menulis dan memberi ceramah mengenai topik berkaitan dengan jenayah siber, isu dan penguatkuasaan.

Beliau menjelaskan masalah timbul apabila penjenayah bukan berada di tempat kejadian tetapi di beribu-ribu batu dan tempat di mana undang-undang di sana tidak sama dengan di negara ini.

Di sini agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, CyberSecurity akan membantu siasatan mencari alamat penjenayah.

"Penjenayah boleh berada di mana saja, mereka boleh berpindah randah untuk menghalang diri mereka dikesan," katanya.

Jenayah siber tidak sama dengan jenayah fizikal yang mempunyai bukti-bukti fizikal seperti jenayah bunuh, rogol atau rompak.

Bercerita mengenai kes menghina sultan, Mahfuz berkata, pihak polis menghadapi masalah sebelum berjaya memberkas penjenayah.

"Masalahnya penjenayah menggodam akaun Internet penduduk di kawasan kejiranan bagi menghina sultan dalam blog.

"Akhirnya pihak polis dengan kerjasama CyberSecurity berjaya menjejaki dan memberkas mereka," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, undang-undang siber yang ada sekarang tidak dapat bersaing dengan kepantasan teknologi masa kini yang sentiasa berubah setiap hari.

Malah terdapat beberapa negara di dunia yang tidak mempunyai undang-undang siber atau tidak selaras dengan negara ini menyebabkan timbul masalah untuk mendakwa penjenayah di sana.

Justeru Pengurus Perlindungan Aset Asia Pasifik, e-Bay Inc, David Napper mempersoalkan masa depan dunia dengan hubungan Internet.

"Tentu saja Internet mempunyai kebaikan di sebalik keburukan. Dengan Internet semua orang bukan saja boleh berhubung dengan sesiapa saja walau di mana mereka berada," katanya.

Bagaimanapun jelas Napper apabila semua orang mula berhubung hingga ke hujung dunia, persekitaran akan mula berubah termasuk juga jenayah.

Misalnya di negara sebelah Afrika Barat, rakyat negaranya menjadikan Internet sebagai lubuk duit dengan menjalankan penipuan seperti scam, phishing dan penipuan dalam talian.

"Malah di beberapa negara, terdapat industri mengumpul alamat e-mel pengguna untuk digunakan bagi menghantar e-mel sampah untuk tujuan penipuan," katanya.

Biasanya pihak berkuasa akan mengumpulkan bukti-bukti berbentuk digital di tempat jenayah berlaku untuk dianalisis di makmal.

"Cabaran berlaku apabila penjenayah memadamkan bukti, mengenkrip (mengunci) data data, memori yang menyimpan banyak data atau simpanan mudah alih di dalam pengkomputeran awan," katanya.

Ini melibatkan kes penggodam, penipuan atas talian, laman sosial, spam serta pelbagai lagi jenayah berkaitan siber.

Malah pihak berkuasa tidak boleh mengambil terus komputer yang digunakan kerana masalah kata kunci yang memerlukan kerjasama penjenayah sendiri.

"Masalah apabila penjenayah menyimpan data di dalam penyimpanan awan kerana tiada lokasi penyimpanan data.

"Selain itu hakim, peguam serta pendakwaraya yang kurang mahir mengenai bukti siber menambahkan lagi kesulitan dalam pendakwaan," katanya.

Bagaimanapun menurut Ketua Unit Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara Malaysia, Noorin Badaruddin, tanpa kita sedari pelbagai bukti digital telah lama digunakan di negara ini.

Memberikan contoh kes Canny Ong, pihak berkuasa mula mendapat maklumat dengan menangkap orang yang menggunakan kad SIM mangsa.

Berdasarkan cara tersebut, polis mendapat tahu lokasi mangsa dengan kerjasama syarikat pembekal telekomunikasi.

Justeru bagi menangani masalah jenayah siber memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan hanya diletakkan di bahu pihak polis semata-mata.

Malah undang-undang siber yang lebih canggih perlu dikaji, dikuatkuasa dan hukuman berat perlu diberikan bagi menunjukkan keseriusan terhadap jenayah siber.

Pengguna juga perlu dididik supaya tidak mudah terpengaruh dengan pujuk-rayu rakan laman sosial yang kacak atau jelita, tawaran hebat harta pusaka atau mengemaskini akaun yang dikatakan telah digantung atas sebab-sebab tertentu.

Pengguna juga dinasihatkan agar sering melayari laman web CyberSecurity di www.cybersecurity.my bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kegiatan jenayah siber.