Internet selamat dan mesra keluarga mesti diwujudkan
New Sabah Times (20 June 2012)

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Yee Moh Chai berkata kesedaran penggunaan internet yang selamat dan mesra keluarga mesti diwujudkan selari dengan usaha untuk mewujudkan perhubungan internet yang lebih baik untuk semua warga Malaysia.

Berucap merasmikan Program Digi CyberSAFE di Sekolah Menengah Sains Kota Kinabalu di Luyang, dekat sini kelmarin, Yee berkata program ini bertujuan mendidik khususnya kanak-kanak tentang penggunaan internet secara selamat.

Katanya, Program CyberSAFE in Schools telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 24 September 2010 di SMK Tandek, Kota Marudu, Sabah. Program ini juga dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia mempromosikan mesej CyberSAFE secara terancang ke sekolah-sekolah.

"Kolaborasi bersepadu Digi Telecommunications serta badan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan beberapa badan bukan kerajaan, CyberSecurity dan Childline dalam merealisasikan program yang berteraskan keselamatan pengguna diutamakan khususnya dikalangan kanak-kanak kini tercapai," katanya.

Yee berkata Program Digi CyberSAFE ini juga telah berjaya mendidik seramai 2,553 orang pelajar, guru, dan ibu bapa daripada 110 buah sekolah di beberapa kawasan dan negeri sekitar semenanjung Malaysia yang telah dilancarkan pada November 2011 di Lembah Klang dengan tujuan yang sama.

" Penggunaan internet sememangnya dapat meningkatkan pengetahuan andainya ia tidak disalahgunakan dan dikawal kerana jenayah siber yang mensasarkan kanak-kanak kini kian berleluasa," kata Yee.

Menurut beliau program pendidikan Keselamatan Siber Kanak-kanak ini juga bertujuan untuk mendekati lebih ramai guru-guru dan para pelajar di sekolah dan juga komuniti yang berada di kawasan luar bandar yang kurang bernasib baik menerusi bengkel-bengkel di pusat bandar.

Beliau berkata melalui kerjasama Program Digi CyberSAFE dengan Childline Malaysia, kanak-kanak turut diberi akses kepada Talian 15999 iaitu talian bantuan khas 24 jam bagi kanak-kanak yang menghadapi ancaman siber.

"Selaras dengan inisiatif daripada semua pihak yang berkolaborasi ini, satu buku panduan turut diterbitkan untuk membantu ibu bapa, penjaga dan guru-guru dengan maklumat dan cadangan bijak untuk memupuk suasana berinternet yang lebih selamat untuk kanak-kanak di bawah didikan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Prof. Datuk Husin Jazri berkata sebanyak 4,865 diterima dari Januari sehingga Mei tahun ini yang berkaitan dengan jenayah siber yang kebanyakannya adalah seperti kes penipuan, ugutan dan lain-lain di seluruh Malaysia.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Puan Hajah Maimunah Suhaibul, berkata Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia telah merancang CyberSAFE in Schools ke seluruh negara berdasarkan enam zon iaitu, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Utara, Zon Timur, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

Lebih 500 orang pelajar serta 100 orang pendidik dari 31 buah sekolah sebagai wakil sekolah masing-masing daripada Ahli Kelab Bestari untuk mempelajari cara-cara melindungi diri daripada jenayah siber.

Turut hadir Ng Chak Kin selaku Ketua DiGi Wilayah Sabah, Puan Wong Poai Hong, Ahli Jawatankuasa Pemandu Childline Malaysia, Haji Zaini Bin Zair, Pengetua Sekolah Menengah Sains, Kota Kinabalu, Ketua-ketua Sektor dan juga Pegawai Pelajaran Daerah.