Ancaman keselamatan siber capai tahap membimbangkan
New Sabah Times (22 June 2012)

KOTA KINABALU: Jenayah siber kini sudah menular ke sosial media dan menggunakan medan tersebut seperti facebook untuk mengeksploitasikan mangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Prof. Datuk Husin Jazri.

Mengambil contoh dari kes penculikan adik Nayati Moodliar yang berlaku pada Mei lalu, beliau menyatakan kes itu banyak melibatkan saringan maklumat yang diperolehi daripada akaun facebook dan beliau percaya akan terdapat lebih banyak lagi kes-kes seumpama ini memandangkan dari sikap sesetengah orang yang berkongsi maklumat peribadi kepada sesiapa sahaja di facebook.

"Mangsa-mangsa jenayah siber dalam sosial media meliputi semua golongan, dari dewasa sehinggalah kanak-kanak kerana mereka tidak didedahlan atau tidak diberi pengetahuan secukupnya dalam menjaga maklumat-meklumat peribadi yang dikongsi bersama rakan-rakan di facebook," kata Husin dalam program ‘Media Get Together and Corporate Presentation With Media, di Hotel Le Meridien, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, beliau turut mengkategorikan 5 ancaman baru yang berlaku dalam sosial media. Antara ancaman tersebut termasuklah ‘cyberbully' yang digunakan oleh pelajar-pelajar untuk membuli rakan-rakan mereka, bahkan terdapat juga kes pelajar yang membuli guru mereka.

Selain itu, ancaman tersebut adalah ‘cyber stalking' dimana penjenayah mengintip mangsa dan menyelidik segala maklumat dan aktiviti-aktiviti mangsa,katanya.

‘Cyber grooming' juga merupakan antara jenayah siber yang semakin berleluasa terutamanya dalam sosial media, "Ini berlaku di mana penjenayah cuba untuk mendapatkan kepercayaan mangsa dari awal lagi sehingga mangsa termakan dengan pujuk rayu yang disampaikan sehingga sanggup memberi wang ataupun menjadi ‘keldai dadah' kepada penjenayah berkenaan," katanya.

Seterusnya adalah ‘identity theft', penjenayah mencuri maklumat akaun bank mangsa dan kes ini banyak terjadi melalui proses membeli barang secara ‘online', katanya.

Selain itu katanya, jenayah pornografi termasuk di kalangan kanak-kanak juga semakin berleluasa di Malaysia sekarang ini dan mencatatkan rekod yang agak tinggi.

Sementara itu, secara keseluruhannya, jumlah kes keselamatan siber di Malaysia menunjukkan peningkatan, berdasarkan dari jumlah aduan orang ramai yang diterima oleh Cyber999.

Sehubungan dengan itu, pihak CyberSecurity turut menyenaraikan beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi membendung jenayah sosial media di Malaysia.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan menilai semula polisi keselamatan siber negara yang telah diwujudkan pada tahun 2006 yang hanya tertumpu kepada keselamatan prasarana kritikal negara.

"Sudah sampai masanya aspek-aspek keselamatan pengguna internet di Malaysia dimasukkan dalam polisi ini termasuklah dengan menganjurkan program-program untuk mendidik masyarakat tentang cara penggunaan sosial media yang lebih selamat dan juga meliputi aspek keselamatan negara dalam persediaan menghadapi krisis peperangan siber yang semakin melanda negara-negara maju ketika ini," katanya.

Penilaian semula struktur internet yang tiada batasan dan amat terbuka di Malaysia ini juga perlu dipertimbangkan. "Langkah ini diakui memang agak sukar untuk membina semula struktur internet di Malaysia namun ianya akan mendatangkan kebaikan untuk membendung jenayah siber terutamanya yang berkaitan dengan pornografi," katanya.

Sementara itu, CyberSecurity merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang memberi perkhidmatan keselamatan ICT secara berterusan dan menilai ancaman-ancaman siber yang boleh menjejaskan keselamatan negara termasuklah rakyat.