Boleh Akses Jika Produk Tepati Kriteria MyCC
BERNAMA 18, 2012

Pembangun teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh mengakses pasaran antarabangsa jika produk mereka disahkan dalam Kriteria Seragam (ISO15408) menerusi Skim Pensijilan dan Penilaian Kriteria Seragam (MyCC).

Pemangku Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Zahri Yunos, berkata ia susulan akreditasi akan memastikan produk mematuhi standard dan syarat jaminan yang diterima global.

Jelasnya, CyberSecurity Malaysia adalah badan pensijilan sah untuk skim itu.
" Kami mengesahkan 26 produk dan berharap menerusi acara khas pada CSM-ACE 2012 Cyber Security Malaysia, kita boleh mendapatkan lebih banyak produk pemaju ICT tempatan disahkan," - Zahri Yunos, Pemangku Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia
“Setakat ini kami mengesahkan 26 produk dan berharap menerusi acara khas pada Anugerah, Persidangan dan Pameran (CSM-ACE) 2012 Cyber Security Malaysia, kita boleh mendapatkan lebih banyak produk pemaju ICT tempatan disahkan,” katanya pada taklimat media mengenai persidangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

CSM-ACE 2012 yang bertemakan ‘Risiko Keselamatan Siber untuk Transformasi Ekonomi’, disasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pematuhan wajib standard keselamatan maklumat.

Selain itu, ia juga menyediakan platform strategik untuk agensi kerajaan memperoleh maklumat mengenai standard keselamatan maklumat.

Acara dua hari mulai 6 November adalah sebahagian daripada Program Transformasi Negara menerusi Inisiatif Reformasi Strategik dalam menjalankan acara dan peluang membuat padanan.
Zahri berkata, objektif utama CyberSecurity Malaysia ialah untuk memupuk budaya kesedaran keselamatan siber terutama pengguna ICT. - BERNAMA