Cybersecurity Malaysia Dilantik Sekretariat Kepada OIC-CERT
Bernama 14 Januari 2013

Cybersecurity Malaysia (CSM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilantik sebagai sekretariat kepada Pasukan Respons Kecemasan Komputer-Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-CERT).

Pelantikan tersebut dibuat pada mesyuarat agung OIC-CERT 2012 yang diadakan di Muscat, Oman, baru-baru ini. Dengan pelantikan berkenaan, CSM kini merupakan Pengerusi dan sekretariat dalam OIC-CERT, demikian menurut agensi itu dalam satu kenyataan hari ini. Pengerusi CSM Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata CSM bangga dan berbesar hati diberi kepercayaan untuk menerajui usaha-usaha keselamatan siber dalam kalangan negara-negara anggota OIC. Beliau berkata ia merupakan satu pengiktirafan kepimpinan, profesionalisme dan kepakaran teknikal CSM oleh anggota OIC-CERT dalam bidang keselamatan siber.