Insiden keselamatan siber tahun lalu catat penurunan
Utusan Malaysia (17 May 2013)

KUALA LUMPUR 16 Mei - Insiden keselamatan siber di negara ini mencatatkan penurunan apabila sebanyak 9,986 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding 2011 iaitu 15,218 kes.

Naib Presiden Bahagian Penyelidikan CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. Ahmad Sazali Sukardi berkata, penurunan tersebut merupakan perkembangan yang memberangsang jika dilihat peningkatan berterusan sejak tahun 2007.

"Bermula dari 2007, insiden keselamatan siber terus merekodkan peningkatan mendadak iaitu 1,038 kes diikuti 2,123 kes (2008), 3,564 kes (2009), 8,090 (2010) dan 15,218 kes (2011).

"Bagaimanapun, tahun lalu insiden keselamatan siber menunjukkan prestasi menurun," katanya ketika ditemui selepas persidangan E-jenayah: Memperkukuhkan sistem dalaman dan proses untuk menangani jenayah siber anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) di sini hari ini.

Jelas beliau, gangguan siber, penipuan, penafian perkhidmatan, cubaan pencerobohan dan kod-kod berbahaya adalah antara kategori insiden keselamatan siber yang sentiasa dilaporkan.

Katanya, insiden yang paling mendapat perhatian ialah penipuan di internet dengan mencatat 37.5 peratus, diikuti dengan cubaan pencerobohan sebanyak 32 peratus bagi tahun 2011 dan 2012.

Dalam pada itu, Ahmad Sazali turut memberitahu Malaysia juga telah menggunakan beberapa pendekatan holistik keselamatan siber di agensi kerajaan, industri dan masyarakat bagi memastikan persekitaran siber yang selamat dan dipercayai.

"Antaranya, mengadaptasi piawaian keselamatan siber untuk menetapkan asas keselamatan bagi produk, proses dan teknologi, membangunkan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) serta memperkukuhkan keupayaan teknikal dengan memperkenalkan pusat bantuan Cyber999 bagi membanteras jenayah siber.

"Dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, langkah seperti pengurusan krisis siber, program CyberSafe diperkenalkan dan membuat beberapa pindaan ke atas undang-undang siber di negara ini," ujarnya.

Ahmad Sazali menambah, menyedari ancaman siber seperti lintas sempadan secara semula jadi, Malaysia juga telah mengukuhkan kerjasama antarabangsa bersama pemain utama yang lain di seluruh dunia.

"Dalam hal ini, Malaysia telah membina kerjasama strategik dengan pelbagai pasukan tindak balas kecemasan komputer (CERT) di dunia. Antaranya, Pasukan Respons Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) yang merupakan gabungan 30 CERT daripada 16 negara di rantau Asia Pasifik, " katanya.