Keselamatan alam siber negara terkawal
Utusan Malaysia (5 May 2013)

KUALA LUMPUR 4 Mei - Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap keselamatan alam siber negara semasa pilihan raya umum Ke-13 (PRU-13) ini, namun CyberSecurity Malaysia memberi jaminan ia berada di tahap terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Dr. Aminuddin Abdul Wahab berkata, pihak CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan di alam siber.

"Orang ramai tidak perlu risau atau cemas, mereka boleh membantu menjaga keamanan alam siber negara dengan mematuhi undang-undang negara ini terutamanya bagi individu dewasa ketika melayari internet," kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama di sini.

Antara tindakan pengguna yang boleh membantu menjaga keselamatan alam siber ialah dengan sentiasa menjaga etika ketika menggunakan e-mel dan laman media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.

"Fikir secara rasional, jangan bertindak ikut emosi dan jangan mudah percaya dengan sumber maklumat yang tidak sahih. Oleh itu, jangan 'share', 'like', atau 'forward' maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana perbuatan tersebut seolah-olah menyebarkan fitnah," jelas Aminuddin.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Shahnon Mohamed Salleh berkata, agak sukar untuk meramalkan sama ada akan berlaku serangan siber pada proses pengundian esok (5 Mei), namun kemungkinan serangan siber tidak hanya menyerang media sosial seperti Facebook dan Twitter tetapi juga e-mel.

"Objektif mereka melakukan serangan siber ini untuk 'melumpuhkan' sesuatu perisian bagi menyekat penyebaran maklumat supaya masyarakat tidak dapat memperoleh maklumat yang sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, turut menjadi sasaran serangan siber adalah e-mel yang bertujuan untuk "mencuri" maklumat daripada ahli-ahli politik yang menjadi sasaran utama.

Justeru, katanya, kawalan keselamatan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang adalah penting bagi memastikan isu itu dapat dikawal.

Pengguna internet boleh melapor sebarang insiden keselamatan siber kepada Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity secara atas talian melalui emel cyber999 @cybersecurity.my atau laman sesawang https://www.mycert.org.my/online_form/index.html