Pencerobohan siber serius
Utusan Malaysia (11 August 2013)

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Insiden pencerobohan siber di negara ini berada pada tahap membimbangkan berikutan peningkatan ketara laporan berhubung perkara tersebut sejak kebelakangan ini.

Pengerusi CyberSecurity Malaysia (Cybersecurity), Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed berkata, berdasarkan statistik berlaku peningkatan signifikan bagi kesalahan tersebut pada tahun lalu iaitu 4,362 kes berbanding 2,699 kes pada 2011.

Menurutnya, antara faktor peningkatan ketara pencerobohan siber adalah akibat perbuatan menaikkan kod-kod berbahaya (malware) dan perkembangan peralatan pencerobohan laman web (hacking tool).

"Bagaimanapun, faktor utama keadaan membimbangkan ini adalah disebabkan kurangnya amalan terbaik dalam penggunaan dan pengurusan pelayar komputer dalam kalangan rakyat di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azumi menjelaskan, selain pencerobohan, insiden penipuan atau pemalsuan di ruang siber turut merupakan isu besar yang harus ditangani oleh semua pihak terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Berdasarkan pemerhatian Cybersecurity sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jelas beliau, penjenayah-penjenayah siber terus menyasarkan pengguna internet melalui platform e-dagang secara meluas.

Katanya, penjenayah akan mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap pengguna memandangkan ramai tidak mempunyai kesedaran terutama dalam aspek keselamatan e-dagang.

"Antara perbuatan tersebut adalah mengumpan pengguna atau phishing. Penjenayah akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya pengguna memenangi peraduan dan penjenayah meminta nombor akaun bagi menipu mereka," kata beliau.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, setakat suku kedua tahun ini, sebanyak 5,592 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada Cybersecurity dan hampir setengah daripada jumlah itu melibatkan penipuan atau pemalsuan.

Tambahnya, penipuan atau pemalsuan siber menyumbang sebanyak 2,490 kes, pencerobohan 1,726 kes manakala gangguan siber (233 kes).

Sehubungan itu, kata beliau, dalam usaha membendung trend membimbangkan tersebut, Cybersecurity telah melancarkan Program Tunas Harapan Cybersafe bagi melahirkan anggota masyarakat yang mempraktikkan amalan terbaik di dunia siber.

"Kita telah memulakannya di Sabah baru-baru ini melalui pasukan Pandu Puteri di sekolah-sekolah dengan melatih mereka memupuk nilai tanggungjawab semasa menggunakan internet.

"Seterusnya, mereka akan pulang ke rumah atau sekolah masing-masing dan menyebarkan perkara itu kepada rakan-rakan sebaya," kata beliau.

Di samping itu jelasnya, Cybersecurity juga memperkukuhkan keupayaan teknikal dengan memperkenalkan pusat bantuan Cyber999 bagi membanteras jenayah siber.