Tepis serangan siber
Harian Metro (27 November 2013)
Oleh Hairulazim Mahmud

Petaling Jaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) perlu dilindungi sepenuhnya daripada ancaman siber dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi negara membangun, selain mengungguli inovasi dan penggunaan digital.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan sebarang ancaman, gangguan atau kemusnahan ke atas sistem ini boleh memberi impak sangat besar kepada negara.

Tegas beliau, ancaman dan serangan siber kian menular dan semakin serius berpotensi menjejaskan hasrat kerajaan memacu negara ke arah kerajaan ekonomi digital yang maju.

"CNII sektor utama yang perlu diberi perhatian kerana operasi CNII merangkumi penggunaan Teknologi Digital dan ICT yang kritikal.

"Ancaman dan serangan siber ke atas sesebuah organisasi prasarana itu boleh menyebabkan organisasi dan perkhidmatannya yang lain turut terjejas," katanya ketika berucap menutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-MAYA 5) di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab. Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa e-Kedaulatan berkata, Malaysia muncul peneraju ekonomi digital dalam kalangan negara membangun dan menurut penarafan Ekonomi Digital EIU, negara ini berada pada posisi 36 daripada 70 negara.

Sehubungan itu, katanya, melalui pelaksanaan Arahan MKN 24: Mekanisme Pengurusan Krisis Siber Negara yang dilancarkan pada majlis itu, kerajaan dapat mengetahui situasi keselamatan siber semasa dan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber.

"Saya menyarankan semua ketua agensi supaya memahami dan mematuhi sepenuhnya apa yang terkandung dalam arahan ini agar usaha dan strategi yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Saya menyarankan semua agensi yang belum mewujudkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (CERT) supaya mengambil tindakan segera membangunkan dan mempertingkat prosedur dalaman berpandukan prosedur di peringkat nasional dalam mengendali insiden siber," katanya.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Tepisserangansiber/Article/