Tak patut berlaku
Harian Metro (27 November 2013)

Petaling Jaya: Malaysia memberi perhatian serius terhadap dakwaan pembabitan Singapura dalam kegiatan mengintip negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sehubungan itu Kuala Lumpur menuntut penjelasan Singapura supaya mengemukakan bukti dan fakta laporan berkenaan tidak benar.

"Perkara seperti itu sepatutnya tidak berlaku kerana Malaysia-Singapura negara berjiran dan kita mempunyai hubungan baik dalam banyak hal. "Apa pun kerajaan tidak memandang ringan perkara ini dan Wisma Putra sudah pun mengambil tindakan sewajarnya termasuk memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk mendapatkan penjelasan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-MAYA 5) di sini semalam.

Beliau mengulas laporan terbaru media mengenai dakwaan pembabitan negara lain khususnya Singapura dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.

Sebuah portal berita melaporkan berkaitan dokumen rahsia yang dibocorkan pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden mendedahkan republik itu membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip di negara ini.

Rentetan itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memberitahu, pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat secara menyeluruh mengenai laporan terkini media itu berhubung dakwaan terbabit dengan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk mendapat penjelasan semalam. Beliau berkata, kedua-dua negara kini menikmati hubungan saling menguntungkan dan kukuh yang terbukti menerusi hubungan dua hala yang baik antara Perdana Menteri kedua-dua negara serta perluasan kerjasama. Katanya, kedua-dua negara juga mempunyai komitmen dan komited untuk menjalinkan hubungan kejiranan yang baik.

Sumber : http://mobile.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takpatutberlaku/2013/Article/index_html