Singapura perlu kemuka bukti jika tak intip
Utusan Malaysia (27 November 2013)

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Singapura perlu mengemukakan bukti dan maklumat yang jelas sekiranya negara itu tidak terlibat dengan kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memandang serius dakwaan tersebut memandangkan Singapura adalah jiran baik yang mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.

"Apa pun maklumat yang kita dapat berkaitan dengan pengintipan melibatkan negara kita, kerajaan tidak pandang ringan.

"Jika Singapura kata mereka tidak terlibat, maka kena kemuka bukti dan maklumat yang jelas kepada kita bahawa itu (dakwaan) tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-MAYA 5) dan pelancaran Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 24 di sini hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman semalam berkata, kerajaan sedang menyiasat laporan terbaharu akhbar mengenai dakwaan pembabitan negara lain khususnya Singapura dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sama ada dakwaan itu benar atau tidak berasas, kerajaan perlu menyiasat terlebih dahulu.

"Menteri Luar telah memanggil wakil Singapura untuk dapatkan maklumat. Ini menunjukkan kita pandang serius terhadap perkara ini," katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131127/dn_04/Singapura-perlu-kemuka-bukti-jika-tak-intip