Year 2014



Cybersecurity iktiraf 23 syarikat tempatan, antarabangsa
Utusan malaysia (21 Jan 2014)

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Cybersecurity Malaysia, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengiktiraf 23 syarikat tempatan dan antarabangsa yang mencapai piawaian dalam menjamin keselamatan maklumat, data dan kesahihan perniagaan.

Timbalan menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, penganugerahan itu merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh kesemua syarikat berkenaan, khususnya dalam industri teknologi maklumat.

"Dalam dunia digital yang semakin canggih sekarang, jenayah siber seperti kebocoran data, pencerobohan maklumat dan penipuan sering berlaku.

"Dengan adanya pengiktirafan sebegini, pengguna akan lebih yakin terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan sekali gus menaiktaraf tahap keselamatan siber," katanya dalam majlis penyampaian anugerah akreditasi dan pensijilan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Cybersecurity, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd. Azumi Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity, Dr. Amirudin Abdul Wahab; Ketua Pengarah Standards Malaysia, Fadilah Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Applied Business Sdn. Bhd. (TAB), Anuar Alias.

Tambah Abu Bakar, anugerah tersebut diberikan menerusi tiga kategori iaitu pensijilan Common Criteria, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) MS ISO/IEC 27001 dan Malaysia Trustmark e-bisnes.

"Sijil Common Criteria merupakan perakuan produk-produk teknologi komunikasi maklumat (ICT), manakala ISMS MS ISO/IEC 27001 pula mengiktiraf kualiti sistem pengurusan sesebuah organisasi dan Malaysia Trustmark yang merujuk kepada pengesahan laman web perniagaan," jelasnya.

Sementara itu, satu upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Cybersecurity dan TAB turut diadakan bagi mewujudkan pendekatan perniagaan strategik di antara kedua-dua pihak.

Dalam majlis sama, Cybersecurity turut menerima sijil pengiktirafan daripada satu-satunya badan akreditasi negara, Standards Malaysia yang mematuhi MS ISO/IEC 17021:2011 dan MS ISO/IEC 27006:2011 di peringkat antarabangsa.