Year 2014



Pengiktirafan CyberSecurity
Utusan Malaysia (3 Feb 2014)

DR. Abu Bakar Mohamad Diah (tiga dari kanan) berkata sesuatu kepada penerima anugerah akreditasi sambil diperhatikan oleh Fadilah Bahrin (kanan), Azumi Mohamed (dua dari kanan) dan dr. Amirudin Abdul Wahab (empat dari kanan).

DALAM usaha kerajaan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kesahihan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi atas talian (on-line) khususnya industri melibatkan teknologi maklumat (IT), satu penanda aras telah diwujudkan sebagai rujukan bagi membantu golongan tersebut berurusan.

Menerusi pengiktirafan sijil skim penilaian dan persijilan berdasarkan MS ISO/IEC 15408, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat MS ISO/IEC 27001 dan Penilai dan Pengeluar Sijil untuk Trustmark Malaysia, CyberSecurity Malaysia yakin pengguna akan lebih yakin dan selamat ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, jenayah siber seperti pencerobohan data dan penipuan kerap berlaku apabila melibatkan urusan yang menggunakan dalam talian.

"Tidak dinafikan, penggunaan sistem dalam talian dilihat menjadi alternatif kepada pengguna untuk memudahkan urusan mereka dengan pihak ketiga.

"Namun, jika mereka tidak berhati-hati, sudah pasti jenayah siber seperti penipuan akan berlaku dan ini akan merugikan pengguna dan mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penyampaian anugerah akreditasi dan pensijilan agensi tersebut di ibu negara baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Cybersecurity, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Dr. Amirudin Abdul Wahab; Ketua Pengarah Standards Malaysia, Fadilah Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Applied Business Sdn. Bhd. (TAB), Anuar Alias.

Oleh itu kata Abu Bakar, menerusi pengiktirafan pensijilan yang diperkenalkan oleh agensi di bawah MOSTI iaitu CyberSecurity, pengguna akan lebih yakin untuk berurusan dengan pihak ketiga yang telah diperakui segala data menerusi sijil yang telah dianugerahkan kepada mereka.

Sebanyak 23 syarikat tempatan dan antarabangsa yang telah mencapai piawaian dalam usaha menjamin keselamatan maklumat, data dan kesahihan perniagaan telah diiktiraf oleh CyberSecurity pada majlis tersebut.

Menurut Abu Bakar lagi, sijil skim penilaian dan persijilan berdasarkan MS ISO/IEC 15408 diberikan bagi memperakui produk teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang diketengahkan.

Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat MS ISO/IEC 27001 pula mengiktiraf kualiti sistem pengurusan sesebuah organisasi dan Malaysia Trustmark merujuk kepada pengesahan terhadap laman web perniagaan.

CyberSecurity turut menerima sijil pengiktirafan daripada Standards Malaysia iaitu sebuah badan akreditasi negara yang mematuhi MS ISO/IEC 17021:2011 dan MS ISO/IEC 27006:2011 di peringkat antarabangsa.

Pada 25 Julai 2008, CyberSecurity dianugerahkan sijil ISO/IEC 27001, iaitu pentauliahan sepenuhnya dalam Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat yang dilaksanakan secara keseluruhan meliputi kesemua jabatan dan unit dalam organisasi CyberSecurity Malaysia.

Pada 08 Oktober 2008, kerajaan melantik CyberSecurity sebagai badan persijilan tunggal di negara ini bagi skim penilaian dan persijilan berdasarkan MS ISO/IEC 15408:2005 Teknologi Maklumat - Teknik Keselamatan - Kriteria Penilaian bagi Keselamatan Teknologi Maklumat.

Pada 26 November 2010, CyberSecurity dilantik oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai salah satu agensi Penilai dan Pengeluar Sijil untuk Trustmark Malaysia yang membolehkan sektor swasta melaksanakan e-Dagang (e-Commerce) dan sistem e-Pembayaran.