Year 2014



Lapor ancaman siber di Cyber999 App
11 September 2014 (Utusan Borneo Sarawak)

KUALA LUMPUR - Mereka yang menerima ancaman siber kini boleh terus membuat laporan menerusi aplikasi terbaharu telefon pintar yang dikenali sebagai Cyber999 App.

Diperkenal dan dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM), aplikasi itu boleh diperoleh secara percuma bagi sistem pengendalian IOS dan Android.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, aplikasi itu adalah kaedah terbaharu untuk berhubung dengan pasukan pusat bantuan CSM, dan berkemungkinan, ia cara terpantas mendapatkan bantuan kecemasan.

“Sebaik sahaja menerima laporan itu, pasukan berkenaan akan menghubungi pengguna dan membantu mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya selepas melancarkan aplikasi itu, semalam.

Amirudin berkata, Cyber999 App mudah digunakan dan sesuai untuk pengguna telefon pintar serta mengandungi nasihat dan tip mengenai keselamatan internet.

Terdahulu, beliau memberi taklimat kepada  petugas Bernama mengenai situasi keselamatan siber di Malaysia, yang antara lain menunjukkan peningkatan laporan ancaman keselamatan oleh orang ramai.

Beliau berkata, antara insiden dilaporkan ialah penipuan dalam talian, pancingan maklumat peribadi, perisian hasad dan virus, gangguan sistem, kandungan berunsur fitnah, hasutan dan tidak bersesuaian.

Amirudin berkata, orang ramai juga boleh membuat laporan bagi sebarang insiden berkaitan ancaman siber dengan mengemukakan permohonan bantuan menerusi e-mel, faksimili, khidmat pesanan ringkas atau menelefon dan mengunjungi mana-mana pejabat CSM. -Bernama