Year 2014



Tindakan tegas demi integriti
13 September 2014 (Utusan Online - www.utusan.com.my)

VIENTIANE (Laos) 12 Sept. - Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr. Naimah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr. Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil bagi menjaga integriti LPM dan keseluruhan sistem peperiksaan negara.

"Kejadian ini tidak boleh dianggap kecil, lebih-lebih lagi kita tidak mahu nanti orang hilang keyakinan kepada sistem peperiksaan awam kita, kerana itu akan menjejaskan lagi kredibiliti dan nilai sijil yang akan kita keluarkan nanti.

"Saya tidak boleh berkompromi dalam soal ini. Ini sebab kita ambil tindakan sebegini," katanya kepada pemberita pada hari terakhir Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN Kelapan (ASED-8) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan menggantung Naimah dan Wan Ilias itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Menurutnya, sepanjang tempoh penggantungan itu tugas dan tanggungjawab Pengarah LPM disandang Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim.

Beliau menjelaskan, selain kementerian, siasatan juga dilakukan oleh polis dan Cyber Security Malaysia.

"Tempoh penggantungan bergantung kepada berapa lama siasatan dilakukan oleh semua pihak terbabit termasuk kementerian, polis dan Cyber Security," katanya.

Semalam LPM mengumumkan pembatalan ujian UPSR bagi kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 kerana didapati berlaku kebocoran. Sebelum ini, lembaga itu mengumumkan penangguhan kertas Sains kerana didapati berlaku kebocoran.