Year 2014



Cyber999 App: Laporan Ancaman Siber Dipermudah
10 September 2014 (MyNewsHub - mynewshub.my)

KUALA LUMPUR - Mereka yang menerima ancaman siber kini boleh terus membuat laporan menerusi aplikasi terbaharu telefon pintar yang dikenali sebagai Cyber999 App.

Diperkenal dan dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM), aplikasi itu boleh diperoleh secara percuma bagi sistem pengendalian IOS dan Android.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, aplikasi itu adalah kaedah terbaharu untuk berhubung dengan pasukan pusat bantuan CSM, dan berkemungkinan, ia cara terpantas untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

"Sebaik sahaja menerima laporan itu, pasukan berkenaan akan menghubungi pengguna dan membantu mereka menyelesaikan masalah itu," katanya kepada Bernama selepas melancarkan aplikasi itu di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Luar Negeri dan Antarabangsa, Ahmad Zukiman Mohd. Zain; dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio Visual, Mokhtar Hussin.

Amirudin berkata, Cyber999 App adalah mudah digunakan dan sesuai untuk pengguna telefon pintar serta mengandungi nasihat dan tip mengenai keselamatan internet.

Terdahulu, beliau memberi taklimat kepada para petugas Bernama mengenai situasi keselamatan siber di Malaysia, yang antara lain menunjukkan peningkatan laporan ancaman keselamatan oleh orang ramai.

Beliau berkata, antara insiden yang dilaporkan ialah penipuan dalam talian, pancingan maklumat peribadi, perisian hasad dan virus, gangguan sistem, kandungan berunsur fitnah, hasutan dan tidak bersesuaian.

Selain daripada aplikasi baharu itu, Amirudin berkata orang ramai juga boleh membuat laporan bagi sebarang insiden berkaitan ancaman siber dengan mengemukakan permohonan bantuan menerusi e-mel, faksimili, khidmat pesanan ringkas atau menelefon dan mengunjungi mana-mana pejabat CSM.

CSM ialah agensi khas pakar keselamatan siber negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. - BERNAMA