Year 2014



OIC-CERT: Banyak peluang bermakna boleh diterokai
22 Oktober 2014 (Pelita Brunei - www.pelitabrunei.gov.bn)

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Oktober. - Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya menjadi tuan rumah kepada Persidangan Tahunan dan Mesyuarat Am Tahunan (AGM) Keenam 2014 Pertubuhan Kerjasama Islam - Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer (OIC-CERT).

Majlis dianjurkan oleh Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Kebangsaan Brunei (BruCERT) dengan kerjasama Sekretariat Tetap OIC-CERT, CyberSecurity Malaysia iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan persidangan dan mesyuarat pagi itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pemangku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Ketua Pegawai Eksekutif IT Protective Security Services (ITPSS) Sendirian Berhad dan BruCERT, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut berkata, adalah suatu perkara yang menggembirakan apabila melihat bahawa masih terdapat banyak peluang bagi kerjasama yang bermakna lebih daripada hanya Perjanjian Persefahaman atau semata-mata dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti CERTs, rakan teknologi dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang secara umum dan Interpol khususnya.

Beliau turut melahirkan harapan agar peluang-peluang ini boleh ditukar kepada perlaksanaan projek sebenar sama ada pada dasar atau peringkat operasi, melibatkan pengurangan atau kerja pencegahan ancaman siber, keselamatan siber atau jenayah siber.

Tambahnya, keselamatan siber bukan sahaja mengenai teknologi, atau membeli perisian atau perkakasan tertentu, bahkan ia adalah tentang budaya korporat, pendidikan dan kesedaran.

Dasar dan rangka kerja, jelasnya, bukan hanya untuk digubal tetapi perlu disampaikan kepada pekerja dalam cara yang paling berkesan, dan untuk itu program-program kesedaran yang kreatif perlu direka dan dilaksanakan kepada semua pihak berkepentingan.

Sementara itu, Pengerusi OIC-CERT dan Pengarah Am Oman National CERT, Badar Ali Al-Salehi pula menjelaskan, keselamatan siber adalah amat penting untuk semua sektor dan persidangan tahun ini telah mengumpulkan penceramah dan moderator daripada pelbagai sektor termasuk pembuat dasar, pemain industri dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di mana OIC-CERT tahun ini memfokuskan kepada cabaran mengurus ancaman siber dan risiko ketika mencari peluang-peluang ekonomi dalam keselamatan siber.

Persidangan yang membawa tema 'Antara Risiko-Risiko Baru dan Peluang-Peluang (Emerging Risks and Opportunities)' jelasnya, bertujuan untuk menangani teknologi-teknologi terbaru dalam keselamatan siber seperti 'Cloud Computing' dan data yang besar.
Jelasnya, keselamatan siber mempunyai potensi yang amat besar untuk pembangunan ekonomi dan mempunyai kesan yang besar kepada keselamatan negara.
Kedua-dua sektor awam dan swasta, tegasnya, perlu memahami akibat keselamatan siber, cabaran yang dibawanya, jurang dan kesannya dengan bidang politik dan ekonomi.

"Mereka perlu memahami bagaimana untuk mengurangkan cabaran ini melalui inisiatif dasar kerajaan, perkongsian awam-swasta dan sumber yang diperakui," ujarnya.

Sejurus perasmian, satu kertas ucaptama telah disampaikan oleh Pengarah Cyber Innovation and Outreach ICPO INTERPOL, Dr. Madan M.Oberoi yang antara lain menerangkan mengenai peranan dan usaha-usaha Interpol dalam membanteras Jenayah Siber.

Lebih 200 peserta daripada 23 buah negara luar yang mana 19 daripadanya adalah anggota OIC-CERT menyertai persidangan tiga hari tersebut bermula hari ini sehingga 22 Oktober 2014.

Para peserta merupakan perwakilan daripada pertubuhan perniagaan, rakan kongsi antarabangsa dan ahli-ahli perniagaan dan antara kalangan negara yang mengambil bahagian termasuk Azerbaijan, Mesir, Republik Indonesia, Malaysia, Oman, Pakistan, Sudan dan Tunisia.

Persidangan Tahunan OIC-CERT adalah inisiatif berterusan oleh OIC-CERT untuk meningkatkan keselamatan siber dan meningkatkan kesedaran melalui kerjasama antarabangsa dalam kalangan ahli-ahli dan lain-lain organisasi keselamatan maklumat.

Ia menawarkan perkongsian dan kerjasama yang berkaitan dengan keselamatan siber untuk mengekalkan daya tahan dalam ruang siber, di samping menyediakan platfom bagi perkongsian maklumat mengenai isu-isu keselamatan siber, peningkatan keberkesanan dan kecekapan ahli melalui peningkatan keupayaan teknikal dan pentadbiran dalam pengendalian insiden, dan saluran untuk membincangkan hala tuju strategik dan cabaran masa depan.