Bahasa | English CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
  Isu 5 | Suku kedua - 2014
   
 
APRIL 2014
MAJLIS PELANCARAN 31 PRODUK KORMESIL MOSTI SEMPENA MCY 2014 DAN KARNIVAL PENDIDIKAN KERJAYA DAN INOVASI 2014
  3 - 6 APRIL 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai MOSTI Commercialization Year (MCY) 2014 dan Karnival Pendidikan Kerjaya dan Inovasi 2014 yang berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka dari 3 hingga 6 April 2014.

Karnival anjuran bersama Kerajaan Negeri Melaka dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk mempromosi dan memperkenalkan perkhidmatan serta mendedahkan ilmu pengetahuan mengenai keselamatan siber kepada masyarakat umum. Selain mempromosi perkhidmatan Cyber999, Forensik Digital, Malaysia Trustmark dan juga MyCyberSecurity Clinic (MyCSC), peluang ini juga diambil untuk mempromosi program latihan (Training) dan juga program CyberSAFE.

Karnival selama empat (4) hari ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Ir. Idris Harun, Ketua Menteri, Melaka dan dikunjungi lebih 5,000 pelawat yang terdiri daripada pelajar, ibubapa dan masyarakat setempat di Melaka.

Pada 4 April 2014, satu Majlis Pelancaran 31 Produk Komersil MOSTI oleh YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah diadakan. Selain CyberSecurity Malaysia, agensi MOSTI yang turut terlibat adalah Pusat Sains Negara, Teknologi Park Malaysia, Malaysian Technology Development Corporate (MTDC), Jabatan Kimia, BiotechCorp. dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam karnival ini adalah sejajar dengan matlamat CyberSecurity Malaysia untuk menyebar luas maklumat mengenai keselamatan siber, di samping menyahut seruan Kerajaan untuk terus memperkasakan ilmu pengetahuan mengenai ICT terutamanya dalam bidang Keselamatan Teknologi Maklumat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 
LAWATAN KERJA CYBERSECURITY MALAYSIA KE REPUBLIK KOREA DAN TAIWAN
  10 - 15 APRIL 2014
 

Pada 10 hingga 15 April 2014, satu lawatan kerja CyberSecurity Malaysia telah diadakan ke Republik Korea. Lawatan kerja ini diadakan bertujuan mengkaji dan mempelajari program teknikal dalam bidang forensik digital.

Selain menjadi penanda aras untuk CyberSecurity Malaysia menawarkan perkhidmatan berkaitan forensik digital seperti pemulihan data, baik pulih cakera keras (hard disk), data sanitasi dan juga khidmat nasihat mengenai isu yang berkaitan keselamatan siber dan Internet, lawatan ini turut memberi pendedahan kepada CyberSecurity Malaysia mengenai teknologi semasa berkaitan keselamatan siber, di samping mempelajari cara Myung Information Technologies Co. Ltd (MIT Korea) menyelesaikan masalah berkaitan pemulihan dan sanitasi data. Selain itu, ia turut membuka peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk menjalin kerjasama dan bertukar kepakaran dalam bidang forensik digital.

Semasa lawatan kerja, satu perjanjian kerjasama teknologi telah dimeterai oleh CyberSecurity Malaysia bersama MIT Korea dan juga Myung Inovasi Terkini Sdn Bhd (Myung Malaysia) dalam bidang teknikal dan perkhidmatan runding cara mengenai forensik digital. Majlis menandatangani perjanjian telah disaksikan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar bin Mohamad Diah, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Melalui perjanjian ini, MIT Korea dan Myung Malaysia menjadi rakan kerjasama CyberSecurity Malaysia dalam bidang teknikal bagi membantu CyberSecurity Malaysia menyediakan perkhidmatan keselamatan siber melalui Outlet MyCyberSecurity Clinic.

Lawatan kerja ini turut meninjau kemudahan prasarana keselamatan siber dan biotech di LG Chem dan Chungbuk Technology Park di Ochang, Korea Selatan.

 
KURSUS LEAD AUDITOR ISO 27001 ISMS (PERALIHAN)
  14 – 15 APRIL 2014
 

Pada 14 dan 15 April 2014, Kursus Lead Auditor ISO 27110 ISMS (Peralihan) telah dianjurkan bersama oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan CyberSecurity Malaysia bagi membantu agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (Critical National Information Infrastructure - CNII) dari kalangan sektor awam yang terpilih memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (Information Security Management System – ISMS).

Kursus ini diadakan bagi meningkatkan tahap pemahaman para peserta mengenai bidang pengauditan ISMS serta menghasilkan Lead Auditor ISMS yang bertauliah. Lead Auditor ini akan membantu agensi CNII melaksanakan audit dalaman serta hal ehwal pengauditan untuk memperolehi pensijilan serta surveillance dan maintenance audit yang akan diadakan kelak.

Seramai 20 peserta dari 11 organisasi telah mengikuti kursus ini. Antara organisasi yang terlibat adalah:

  1. Pejabat Perdana Menteri
  2. Jabatan Pendaftaran Negara
  3. Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  4. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
  5. Majlis Perbandaran Subang Jaya
  6. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
  7. Unit Penyelarasan Pelaksanaan
  8. Mahkamah Malaysia
  9. Pejabat Ketua Menteri Melaka
  10. Majlis Keselamatan Negara (MKN)
  11. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
  12. MAMPU
 
DEFENSE SERVICES ASIA (DSA) 2014 - CYBER SECURITY CONFERENCE
  16 APRIL 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam DSA 2014 – Cyber Security Conference yang berlangsung pada 16 April 2014 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Persidangan anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini dan disokong oleh CyberSecurity Malaysia telah diadakan sempena acara dwi tahunan Defense Services Asia 2014 (DSA 2014) dan dihadiri oleh seramai 100 peserta.

Pada upacara perasmian, YABhg. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Mohd Azumi (Bersara), Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia telah memberi ucaptama bertajuk "Emerging Threats And Cybersecurity Landscape". Sementara itu, En Zahri Hj. Yunos, Ketua Pegawai Operasi, CyberSecurity Malaysia pula telah membuat pembentangan bertajuk "An Integrated Approach In Responding To Threats And Challenges In Cyber Security" pada persidangan tersebut.

Selain berpeluang memperkenal dan mempromosi CyberSecurity Malaysia sebagai pemacu bidang keselamatan siber di Malaysia, persidangan ini turut memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi pengalaman serta maklumat mengenai trend ancaman siber masa kini, menjalin dan mempertingkatkan hubungan baik serta kerjasama dengan delegasi persidangan selain berkongsi maklumat demi meningkatkan lagi keupayaan dalam menghadapi dan menangani ancaman siber.

 
KURSUS PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN KESELAMATAN MAKLUMAT (INFORMATION SECURITY MANAGEMENT SYSTEM - ISMS) MS ISO/IEC 27001:2007 IMPLEMENTATION (PERALIHAN)
  16 – 18 APRIL 2014
 

Kursus Pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (Information Security Management System - ISMS) MS ISO/IEC 27001:2007 Implementation (Peralihan) telah diadakan dari 16 hingga 18 April 2014 di INTAN, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Kursus anjuran bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan CyberSecurity Malaysia ini diadakan untuk melatih agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (Critical National Information Infrastructure - CNII) mengenai pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (Information Security Management System – ISMS).

Seramai 19 peserta dari empat (4) agensi yang terpilih telah menghadiri kursus ini. Antara agensi yang hadir adalah:

  1. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
  2. Jabatan Perkhidmatan Awam.
  3. Institut Tadbiran Awam Negara
  4. Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Para peserta kursus telah diberi pendedahan mengenai ISMS bagi meningkatkan tahap pemahaman, kesedaran dan seterusnya melatih agensi yang dijemput mengenai pelaksanaan ISMS. Kursus ini juga telah membantu mereka dalam proses Pelaksanaan dan Audit Dalaman ISMS di agensi masing-masing.

 
MINGGU SAINS, TEKNOLOGI & ICT NEGERI JOHOR 2014
  16 - 21 APRIL 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam program Minggu Sains Teknologi & ICT Negeri Johor 2014. Program yang dikenali sebagai MISTI ini telah diadakan dari 16 hingga 21 April 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bharu (PERSADA). Program ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor dan disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta TalentCorp Malaysia.

Karnival selama enam (6) hari ini disasarkan kepada pengunjung yang terdiri daripada golongan pelajar, ibubapa dan masyarakat setempat di Johor. Perasmian MISTI 2014 telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohamed Khalid Nordin, Menteri Besar Johor.

Melalui ruang pameran yang disediakan, CyberSecurity Malaysia telah mempromosi dan memperkenalkan perkhidmatan seperti MyCyberSecurity Clinic, Forensik Digital, Pusat Bantuan Cyber999, Malaysia Trustmark, Program CyberSAFE serta program-program latihan kepakaran keselamatan siber.

Selain itu, aktiviti berbentuk Interaktif Game turut diadakan di ruang pameran CyberSecurity Malaysia, di mana para pelajar dikehendaki menjawab soalan-soalan berkaitan keselamatan siber dalam bentuk permainan di monitor atau netbook.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam program seumpama ini telah membolehkan CyberSecurity Malaysia meneruskan inisiatif dalam memberi maklumat dan pendedahan kepada masyarakat mengenai keselamatan siber, di samping berpeluang mempromosikan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia.

 
3rd ANNUAL REGIONAL CYBERSECURITY SUMMIT 2014
  20 – 21 APRIL 2014
 

Pada 20 dan 21 April 2014, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Serantau Kali ke-Tiga yang berlangsung di Muscat, Oman. Sidang Kemuncak Kali ke-Tiga ini dihoskan oleh Information Technology Authority yang diwakili oleh Oman National CERT (OCERT) dengan kerjasama International Telecommunication Union (ITU).

Penyertaan CyberSecurity Malaysia telah memberi peluang untuk mempamerkan dan mempromosi perkhidmatan serta inisiatif yang dibangunkan melalui ruang pameran yang disediakan. En Zahri Hj Yunos, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia telah diundang sebagai penceramah jemputan dan telah membuat pembentangan bertajuk “An Integrated Approach in Protecting CNII against Cyber Threats: Malaysia’s Perspective”

Seramai 290 peserta dari pelbagai Negara telah menghadiri sidang kemuncak ini. Penyertaan CyberSecurity Malaysia amat signifikan disebabkan oleh kedudukan CyberSecurity Malaysia dalam kalangan Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di mana CyberSecurity Malaysia merupakan Sekretariat Tetap bagi Pasukan Tindak balas Kecemasan Komputer – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-CERT).

Selain menyertai pameran dan membuat pembentangan, CyberSecurity Malaysia juga telah mengambil kesempatan untuk menjalin hubungan dan bertukar pandangan dengan para delegasi persidangan.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di atas kapasiti sebagai Sekretariat Tetap OIC-CERT, telah berjaya menarik minat sembilan (9) organisasi dan enam (6) individu untuk menjadi ahli OIC-CERT.

 
BENGKEL “POSITIVE ONLINE PARENTING”
  26 APRIL 2014
 

Bengkel ‘Positive Online Parenting” telah diadakan pada 26 April 2014 bertempat di SMK Raja (P) Kelsom Kuala Kangsar, Perak. Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Murni (PAM) dan SMK Raja (P) Kelsom Kuala Kangsar, Perak dan telah disertai oleh seramai 80 peserta yang terdiri dari ibubapa dan guru-guru dari SMK Raja (P) Kelsom Kuala Kangsar.

Bengkel untuk ibubapa ini diadakan dengan berpandukan modul yang telah dibangunkan bersama oleh pihak CyberSecurity Malaysia, Pertubuhan Amal Murni (PAM), Politeknik Sultan Azlan Shah dan SMK Raja (P) Kelsom Kuala Kangsar. CyberSecurity Malaysia telah menyampaikan ceramah berdasarkan modul Online Parenting yang telah dibangunkan.

Melalui penyertaan ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat mengeratkan lagi hubungan baik dengan Pertubuhan Amal Murni serta dalam masa yang sama memberikan maklumat dan pengetahuan tentang ancaman di alam siber serta langkah-langkah untuk mengatasinya kepada para peserta yang hadir.

 
2nd ASEAN FINANCIAL INSTITUTION CONFERENCE (ASEANFIC)
  29 APRIL 2014
 

Pada 29 April 2014, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Persidangan 2nd ASEAN Financial Institution (ASEANFIC) yang diadakan di Manila, Filipina.

Persidangan ini disertai oleh seramai 130 delegasi dan dari 25 buah bank. Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Epic Malaysia, PT Aprisma Indonesia, Akati Consulting, Tess International Malaysia, Ascertia UK, Primekey Solution Sweden.

ASEANFIC diadakan dengan tujuan menwujudkan satu perkongsian ilmu dan tumpuan acara jaringan perniagaan di dalam industri di seluruh Asia. Ia juga bertujuan untuk membawa masuk produk-produk berkualiti tinggi untuk dinilai dan disahkan oleh program Malaysian Common Criteria Evaluation & Certification (MyCC), CyberSecurity Malaysia.

Selain itu, acara ini juga membawa manfaat seperti berikut:

  1. Memberi maklumat kepada pemaju tempatan mengenai MyCC dan kebaikan MyCC ke arah peluang perniagaan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi tempatan dan global
  2. Memperkenalkan CyberSecurity Malaysia sebagai badan yang diiktiraf sebagai pengeluar pensijilan MyCC